PETALING JAYA: Institusi kewangan memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi pascapandemik, terutama menyokong kelangsungan perniagaan apabila sektor ekonomi dibuka semula.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kedudukan sektor kewangan terikat dengan ekonomi lebih meluas dan adalah penting bagi industri perbankan meningkatkan usaha memacu semula pemulihan ekonomi.
Justeru katanya, industri perbankan diharap dapat memudahkan pinjaman dengan syarat pembiayaan dan pembayaran yang akomodatif, termasuk mengambil bahagian dalam penawaran program iTEKAD yang menyokong pengusaha mikro untuk memulakan dan mengekalkan perniagaan mereka.
“Institusi kewangan juga perlu menyokong termasuk mempelbagaikan skim pembiayaan, segmen peminjam yang paling tidak dilayan baik seperti sektor perhotelan, perusahaan mikro
atau usahawan wanita.
“Bank juga perlu menyediakan kemudahan bukan berasaskan hutang seperti skim kecairan CAKNA dan Jana Niaga yang melegakan kekangan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tanpa meningkatkan kedudukan hutang mereka.
“Selain itu, menggalakkan pembayaran digital termasuk melalui kemasukan peniaga kecil untuk menerima pembayaran QR dan memastikan yuran berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama secara maya pada Sidang Kemuncak Kewangan dan Perbankan Malaysia 2021 anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL), Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden KSI Strategic Institute for Asia Paci c, Tan Sri Michael Yeoh.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memaklumkan, Bajet 2022 akan terus berkembang dengan berkonsepkan belanjawan pemulihan di samping melengkapkan usaha pembaharuan jangka panjang yang lebih meluas di bawah Rancangan Malaysia Ke12 (RMK-12).
Jelasnya, belanjawan tersebut akan menumpukan kepada tiga bidang utama atau 3R iaitu Pemulihan (Recovery), Ketahanan (Resilience) dan Pembaharuan (Reform), termasuk pembangunan institusi kewangan (DFI) yang memainkan peranan penting untuk bergerak ke hadapan.
“Tahun 2022 akan menjadi tahun yang kritikal buat Malaysia bukan hanya untuk pemulihan ekonomi, malah pemulihan industri, kehidupan dan pekerjaan, terutama bagi yang teruk terjejas akibat pandemik.
“Dalam membina ketahanan, bank dan institusi kewangan perlu menyokong pelanggan dalam usaha mereka beralih kepada keperluan norma baharu termasuk digitalisasi dan fokus perniagaan serta operasi mereka,” ujarnya.
Jelas beliau, usaha tersebut akan melengkapkan inisiatif lebih luas oleh kerajaan termasuk Dasar Revolusi Industri Keempat Nasional (4IR) di mana digitalisasi dan penggunaan teknologi amat penting dalam meningkatkan prospek ketahanan ekonomi, sesuai dengan Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia.
“Pentingnya bagi kita untuk keluar dari wabak ini dengan selamat dan sistematik yang mana sama pentingnya kita membangun kembali dengan lebih baik. Itulah sebabnya sektor kewangan mesti maju dan memainkan peranannya dalam agenda iklim dan kelestarian.
“Adalah menggembirakan untuk melihat bahawa sektor kewangan bergerak maju ke hadapan, termasuk melalui penawaran penyelesaian kewangan yang mampan dan bantuan kepada syarikat dalam perjalanan peralihan mereka,” katanya. – UTUSAN










