Ideation pakar rekaan dalaman industri - Utusan Malaysia

Ideation pakar rekaan dalaman industri

ANTARA rekaan dalaman membabitkan set perabot di asrama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berani, bijak mengambil peluang dan berpandangan jauh menjadikan ikon usahawan minggu ini sedikit berbeza de­ngan rakan seangkatannya di dalam industri sama.

Pemilik syarikat penyedia rumusan reka bentuk dalaman, Ideation Sdn. Bhd. (Ideation), Zafri Zakaria Merican berkata, bergelar jurureka industri bukan mudah seperti yang disangka.

Lebih-lebih lagi, status syarikatnya sebagai syarikat bumiputera memerlukan beliau sentiasa bersaing menawarkan idea baharu untuk terus ke hadapan.

Ketika ditemui di pejabatnya di Gombak, Selangor baru-baru ini, beliau akui jurureka industri mempunyai banyak pesaing dan hanya hasil terbaik serta tawaran harga yang berpatutan sahaja mampu mendapat tempat.

“Namun, walaupun berstatus bumiputera, sejak mula berope­rasi pada 2010, syarikat sudah membuat rumusan hiasan dalaman hampir 100 projek membabitkan pelbagai segmen industri seperti hospital, perpustakaan, bangunan pejabat, bilik pameran dan pelbagai lagi.

“Malah, kita juga mendapat kepercayaan syarikat gergasi untuk mereka bentuk hiasan dalaman galeri pameran ken­deraan bagi sebuah syarikat automotif mewah antarabangsa baru-baru ini,” kata anak kelahiran Pulau Pinang ini.

ZAFRI ZAKARIA MERICAN

Berkongsi kisah tertubuhnya Ideation, Zafri berkata, ia terhasil ketika berkhidmat untuk beberapa syarikat di dalam bidang itu selama berbelas tahun namun beliau berasakan idea serta bakat dimiliki tidak mampu dikembangkan dengan optimum kerana terikat dengan perniagaan yang bukan miliknya.

“Pada 2010, saya membuka syarikat sendiri dengan modal RM17,000 iaitu duit simpanan selama saya bekerja.

“Pada awal memulakan perniagaan sendiri, saya tidak ada pejabat pun. Rakan baik saya meminjamkan bilik di pejabatnya untuk saya membuat kerja dan berjumpa pelanggan yang sebenarnya satu sudut di dalam biliknya,” katanya yang pernah merangkul Anugerah Reka Bentuk Malaysia (MGDMA) 2013 oleh Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM).

Ditanya mengenai di sebalik nama syarikatnya, Zafri berkata, Ideation bermaksud proses atau aktiviti mencari idea yang menjadi asas utama di syarikat itu.

“Jika saya di pejabat, masa yang ada digunakan untuk memantau operasi syarikat secara menyeluruh termasuk memastikan idea dan reka bentuk dihasilkan adalah terbaik serta sesuai dengan konsep diingini pelanggan.

“Namun, saya tidak suka menjadi hamba duit. Dalam bekerja saya amalkan pelanggan perlu berpuas hati dan me­laksanakan sesuatu projek sehingga pelanggan berpuas hati untuk membayarnya,” katanya yang mempunyai 18 orang kakitangan.

Beliau berkata, setiap kakitangan mempunyai tanggungjawab termasuk pengurusan projek, kontrak, kewangan dan sebagainya.

Kata Zafri, beliau tidak mahu terlalu tertumpu dengan perkara yang sudah diberi tanggungjawab kepada orang lain.

“Bagaimanapun, sebagai pemilik, kita juga perlu mempunyai tanggungjawab untuk mengetahui aliran tunai bagi memastikan operasi perniagaan dapat berjalan dengan baik,” katanya.

AVISENA Women’s & Children’s Specialist Hospital antara hospital yang mendapat sentuhan rekaan dalaman daripada syarikat Ideation.

Meskipun bergelar pemilik syarikat, menurut Zafri, beliau bukan seorang yang terlalu mementingkan wang dalam menjalankan perniagaan kerana lebih mengutamakan nilai kekeluargaan dan konsep berkongsi rezeki dalam membina sesebuah institusi perniagaan.

“Bagi saya, kakitangan adalah ahli keluarga saya. Masalah mereka adalah masalah saya. Sebab itu, mana-mana staf yang ada masalah saya akan cuba bantu selagi daya,” katanya.

Menceritakan individu yang menjadi latar belakang hidup­nya bergelar usahawan, pas­tinya ibu dan bapanya, Faridah Pawanchik dan Zakaria Merican Ishak Merican.

Selain itu, isteri tersayang, Hazura Zainal yang turut terbabit di dalam industri itu secara langsung.

“Sebenarnya isteri saya juga adalah pereka dalaman. Memandangkan dia mempunyai kepakaran di dalam bidang hiasan dalaman ini, Hazura se­ring mendapat jemputan untuk membuat perkongsian dengan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan tinggi.

“Memandangkan lebih berminat untuk mengajar, dia menjadi pensyarah sepenuh masa dan saya meneruskan perniagaan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN