BEIJING: ByteDance Ltd. memperkenalkan perkhidmatan ala TikTok untuk remaja di China dengan menetapkan kawalan ketat penggunaan harian setelah Beijing meningkatkan usaha melindungi kanak-kanak di bawah umur daripada pengaruh internet.
Aplikasi dipanggil Xiao Qu Xing atau Little Fun Star, menawarkan feed video peribadi pendek dalam pelbagai bidang seperti sains, sastera hingga sejarah seni.
Menurut laporan, pengguna dibenarkan untuk like klip video dipaparkan tetapi tidak boleh memuat naik atau berkongsi. Sementara itu, ibu bapa pula dapat menyesuaikan waktu penggunaan oleh anakanak mereka maksimum sehingga 40 minit sehari.
Kerajaan China dilaporkan berusaha untuk melaksanakan peraturan yang lebih meluas mengenai algoritma yang digunakan syarikat teknologi untuk penggunakan video dan kandungan lain.
Para pegawai atasan dan media rasmi kerajaan juga telah mendedahkan mengenai jumlah masa yang dihabiskan remaja pada telefon pintar mereka.
Pengawal selia dilaporkan mahu mengurangkan masa permainan dalam talian kanak-kanak kepada tiga jam seminggu mulai bulan ini, mencetuskan kebimbangan bahawa peraturan serupa akan diperluas ke kandungan digital lain.
Minggu lalu, kembar TikTok, Douyin, telah mengehadkan masa penggunaan harian ‘mod remajanya’ sehingga maksimum 40 minit bagi mereka berusia di bawah 14 tahun, sambil melarang mereka mengakses aplikasi berkenaan dari pukul 10 malam hingga 6 pagi.
Xiao Qu Xing dicipta oleh cabang pendidikan ByteDance, yang awal tahun ini menghentikan sebahagian besar operasinya setelah Beijing menutup industri pembelajaran selepas waktu persekolahan itu, yang dianggarkan bernilai AS$100 bilion (RM419 bilion). – AGENSI










