Belajar di sekolah rangsang minda, semangat pelajar - Utusan Malaysia

Belajar di sekolah rangsang minda, semangat pelajar

MARIANI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembukaan sekolah secara berperingkat yang dijadualkan pada bulan depan diyakini dapat merangsang pemikiran pelajar untuk terus belajar dalam persekitaran kondusif dan memberangsangkan.

Proses pengajaran dan pembelajaran juga akan menjadi lebih mudah dengan wujudnya komunikasi dua hala antara guru dan pelajar sekali gus meningkatkan daya kefahaman terhadap sesuatu mata pelajaran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Psikologi, Universiti SEGi, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, langkah berkenaan dilihat lebih efektif berbanding sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) yang didapati kurang elemen berkenaan.

“Di sekolah, mereka mempunyai sistem sokongan sosial lebih kukuh seperti guru dan pelajar. Ini yang akan memberi suntikan motivasi dan mewujudkan daya persaingan positif antara satu sama lain.

“Dengan pembukaan sekolah juga membantu pelajar menjalani proses pembelajaran dengan lebih teratur walaupun adanya SOP (prosedur operasi standard) seperti penjarakan fizikal satu meter dan pemakaian pelitup muka, mereka tetap ada motivasi.

“Saya yakin kerajaan tahu apa yang perlu dilakukan berkenaan aspek pelaksanaan dan pematuhan SOP untuk memastikan pelajar belajar dalam keadaan yang selamat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan pembukaan sekolah dijadualkan bermula 3 Oktober secara berperingkat melibatkan sekolah-sekolah di bawah negeri-negeri Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Pemulihan Negara (PPN).

FAUZIAH SA’AD

Dalam pada itu, Pakar Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Sa’ad berkata, memang secara fitrahnya sifat pelajar terutama kanak-kanak adalah aktif.

Mereka juga antara lain perlu bersosial untuk meningkatkan keyakinan diri malah setiap pelajar memerlukan ‘sentuhan’ kasih sayang dan sokongan daripada guru serta rakan-rakan supaya proses pembelajaran lebih mudah.

“Pembelajaran secara bersemuka tetap yang terbaik kerana kita dapat melihat guru dan murid berinteraksi secara langsung, melalui bahasa tubuh jika tidak faham sesuatu topik. SOP perlu dipastikan dipatuhi supaya sesi pembelajaran nanti terkawal

“Jika terus menggunakan kaedah dalam talian yang sudah dilakukan sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kadang-kadang ada pelajar yang tutup kamera yang tidak pasti jika pelajar itu mengikuti pembelajaran atau tidak.

“Pada aspek lain, saya berpandangan pembukaan sekolah memberi peluang kepada semua pelajar melepaskan rindu sesama rakan kerana selama ini mereka hanya tinggal di rumah bersama keluarga sahaja,” katanya.

MAAT SAAT MOHD. BAKI

Sementara itu, Pakar Psikologi Klinikal, Prof. Datuk Dr. Maat Saat Mohd. Baki pula berkata, penekanan yang harus diberikan kepada pelajar selepas sesi persekolahan bermula ialah kemampuan pelajar dalam berfikir secara kritikal dan analitikal serta penyelesaian masalah.

“Semasa PdPR, pelajar sudah diberikan dengan pelbagai bahan bacaan yang mana kita sudah melepas tahap itu. Kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah ini mesti dibuat di sekolah dan inilah peranan guru dalam mengukuhkan lagi prestasi pendidikan pelajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya