PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan para pendeposit TH khususnya yang telah melebihi umur 18 tahun tetapi masih memegang Akaun Kanak-Kanak di bawah jagaan untuk bertukar status kepada Akaun Dewasa.
Pengarah Eksekutif Operasinya, Mustakim Mohamad berkata, Bermula 1 Disember 2021, pemegang Akaun Kanak-kanak yang telah menukar status akan mentadbir akaun masing-masing dengan sendirinya.
“Hampir 700 ribu pemegang Akaun Kanak-Kanak di TH yang melebihi umur 18 tahun telah dikenal pasti. Akaun tersebut akan dibekukan daripada melakukan sebarang transaksi pengeluaran.
“Selain itu, status link akaun di antara akaun penjaga di bank dan akaun kanak-kanak di TH akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan.
“Walau bagaimanapun, akaun tersebut masih boleh menerima transaksi simpanan daripada semua saluran yang disediakan TH termasuklah di platform JomPay dan THiJARI,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, TH menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga yang mempunyai akaun di bawah jagaan bagi anak yang berumur 18 tahun ke atas untuk datang bersama anak tersebut ke cawangan TH yang berdekatan bagi menukar status akaun ke Akaun Dewasa agar tidak timbul kesulitan di masa akan datang.
Langkah ini diambil bagi memastikan semua akaun pendeposit yang mencapai 18 tahun diuruskan oleh pendeposit itu sendiri dan rekod maklumat serta biometrik pendeposit berumur 18 tahun tersebut dikemaskini.
Selain itu, para pendeposit perlu memastikan akaun TH masing-masing dan dalam jagaan kekal berstatus aktif untuk terus menikmati manfaat menyimpan di TH termasuk simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, zakat ditunaikan, patuh syariah, dikecualikan cukai pendapatan dan boleh juga turut serta dalam pelbagai kempen yang dijalankan TH.
Pendeposit hanya perlu melakukan hanya satu transaksi simpanan atau pengeluaran bagi memastikan akaun TH anda kekal berstatus aktif. – UTUSAN