PETALING JAYA: Senheng Electric (KL) Sdn. Bhd., menjalin kerjasama dengan CTOS Data Systems Sdn. Bhd. (CTOS) untuk meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan 2.9 juta ahli PlusOne syarikat itu.
Kerjasama itu akan menggalakkan pelanggan Senheng merebut peluang daripada laporan MyCTOS yang sekarang ditawarkan percuma oleh CTOS untuk memungkinkan rakyat Malaysia mengendalikan kesihatan kewangan mereka dengan sebaik-baiknya.
Presiden Senheng, Lim Kim Chieng berkata, kepentingan ahli-ahli PlusOne sentiasa diberi penekanan dalam setiap urusan syarikat.
Beliau berkata, kerjasama dengan CTOS akan memberi manfaat kepada ahli-ahli dari segi pengendalian kesihatan kewangan mereka di mana syarikat sentiasa menekankan perlunya menjadi pengguna bijak, mengoptimumkan kewangan peribadi tanpa mengurangkan kualiti hidup.
“Aspek celik kewangan merupakan tonggak penting masyarakat kita, dan pihak kami berbesar hati dapat menyokong CTOS dalam usaha mereka ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut CTOS, laporan kredit peribadinya memuatkan maklumat terperinci tentang hutang seseorang, sejarah akaun bagi kad kredit dan pinjaman.
Kes-kes guaman dan kemuflisan turut disenaraikan dalam bahagian berasingan laporan kredit itu serta juga jawatan pengarah dan kepentingan perniagaan.
Katanya, bank dan syarikat pemberi pinjaman lain menggunakan maklumat berkenaan dalam proses penilaian kredit sebelum meluluskan permohonan kredit seperti kad kredit dan pinjaman.
“Menyemak laporan kredit membantu pengguna memahami apa perkara yang bank pertimbangkan dan bagaimana penilaian dibuat sama ada untuk menolak atau meluluskan kredit,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif CTOS, Eric Chin pula berkata, hanya 1.3 juta daripada kira-kira 15 juta orang dewasa bekerja di negara ini layak melakukan semakan kendiri CTOS untuk menguruskan maklumat kredit peribadi mereka.
“Harapan kami ialah dengan menghulurkan tawaran percuma ini secara terus kepada pengguna dengan sokongan Senheng, maka lebih ramai lagi akan mendapat gambaran jelas tentang kedudukan kewangan mereka dan bertindak sewajarnya ke arah mencapai matlamat kewangan mereka,” katanya. – UTUSAN










