NURFARAHIN HUSSIN
PETALING JAYA: Pembukaan sektor perdagangan dan pengedaran untuk negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini memberi nafas lega kepada 11 perniagaan tersenarai yang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Pengumuman tersebut dilihat dapat memberi sinar baharu dalam memperbaiki pendapatan keluarga pengusaha PKS selepas mereka terpaksa menutup operasi sejak awal Jun lalu.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kebenaran ini juga akan memperkuat kembali rantaian nilai dalam sektor peruncitan seperti logistik dan sebagainya.
“Misalnya, kebenaran pusat pengedaran dan jualan kereta, yang mana rantai nilai daripada pembuat komponen, pemasangan, logistik, penjualan kereta kembali menceriakan industri permotoran.
“Dari sudut keperluan pula, pengguna sememangnya ternanti-nanti masanya untuk mereka boleh menggunting rambut dan mencuci kereta. Ini adalah berita yang menggembirakan setelah hampir tiga bulan tidak boleh memenuhi kehendak dan keperluan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Semalam, kerajaan mengumumkan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran berkuat kuasa hari ini, yang melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi di dalam Fasa 1.
Sektor berkenaan antaranya kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan kemas, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai pakaian, fesyen dan aksesori serta kedai gunting rambut.
Aimi Zulhazmi berpendapat, bagi memberi lebih kemudahan kepada PKS, agensi kerajaan mungkin boleh memberikan bantuan kewangan seperti modal pusingan kepada mereka bagi membeli barang asas, deposit, sewa dan fasiliti pelbagai kemudahan yang penting untuk berniaga semula.
“Perusahaan yang diberi kebenaran semula ini perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuti sepenuhnya kerana jika berlaku jangkitan maka perniagaan mereka yang baru bernafas akan menjadi sia-sia.
“Kebimbangan tentang jangkitan berlaku tetap ada, tetapi kalau dikaji ia akan menggesa masyarakat utk meningkatkan jumlah yang diimunisasi supaya dapat mengawal jangkitan dan kadar kematian.
“Arahan kerajaan utk membenarkan pengoperasian kilang mengikut kadar peratusan pekerja yang lengkap divaksin juga adalah yang terbaik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE