Kembalikan kuasa membuat pilihan kepada rakyat - IDEAS  - Utusan Malaysia

Kembalikan kuasa membuat pilihan kepada rakyat – IDEAS 

. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa pembentukan kerajaan baharu disegerakan sebelum pembentangan Belanjawan 2022 di Parlimen yang dijangka pada penghujung Oktober ini.

Ini kerana perlunya tempoh masa yang jelas untuk Perdana Menteri Sementara mentadbir negara memandangkan pentadbir dengan jawatan tersebut tidak patut mengumumkan sebarang dasar utama atau meluluskan perbelanjaan dana awam.

Institusi itu dalam kenyataan turut menggesa kerajaan yang akan dibentuk mengutamakan pelaksanaan pembaharuan institusi yang sekian lama telah dijanjikan kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, antara pembaharuan tersebut termasuk pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) untuk membasmi rasuah, pembentangan Rang Undang-undang Pendanaan Politik di Parlimen, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan meningkatkan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan cara menaikkan statusnya kepada satu badan berperlembagaan.

“Kerajaan juga perlu menekankan proses pelantikan penjawat awam utama dan pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) dilakukan dengan telus dan bebas, memberi kuasa kepada Parlimen dengan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Selain itu, perlu juga memperluaskan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) demi memastikan perwakilan seimbang daripada pihak kerajaan dan Pembangkang dan satu badan Kehakiman bebas yang diberi kuasa untuk menghakimi semua kes rasuah politik,” menurut kenyataan itu.

IDEAS berkata, segala dasar memerangi Covid-19 perlu diberi keutamaan, diteruskan serta ditambah baik tanpa gangguan atau penangguhan walaupun proses peralihan sedang berlaku.

“Hal ini termasuk penerusan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)  dan Pelan Pemulihan Negara serta  Majlis Pemulihan Negara. Penambahbaikan terhadap semua perancangan ini boleh dilakukan, seperti memperkenalkan satu Majlis Kerajaan Persekutuan-Kerajaan Negeri agar dapat melibatkan kerajaan negeri dalam proses membuat keputusan.

“Proses membentuk kerajaan perlu menentang semua bentuk pembelian Ahli Parlimen ke arah lompat parti, rasuah dan penyalahgunaan dana awam. Kami memahami bahawa iklim politik ketika ini menunjukkan perpecahan dan tidak ada parti yang mampu membentuk kerajaan tanpa mencapai persetujuan dengan parti lain.

“Namun, proses rundingan ini harus disokong oleh tawaran dasar dan visi untuk membawa Malaysia bergerak ke hadapan. Rakyat Malaysia berhak mengetahui dan memahami proses pembentukan kerajaan, jadi proses ini perlu dilakukan dengan telus dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, kerajaan yang akan dibentuk perlu komited terhadap satu garis masa untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya.

“Kaedah terbaik untuk menyelesaikan krisis politik ini adalah mengembalikan kuasa membuat pilihan kepada rakyat Malaysia. Walaupun pilihan raya tidak akan dapat menjamin kerajaan yang stabil, hak untuk memilih wakil rakyat merupakan satu hak yang harus diberi kepada setiap rakyat Malaysia.

“Kerajaan yang akan dibentuk ini juga perlu mengembalikan kepercayaan terhadap institusi dan sistem demokrasi Malaysia. Ketidakstabilan yang dialami sepanjang tempoh ini telah mendedahkan banyak kelemahan dalam pelbagai tingkat politik dan tadbir urus negara yang ternyata tidak mampu diselesaikan dengan mudah.

“Ketidakstabilan ini telah menjejaskan ekonomi serta iklim pelaburan negara. Usaha ke arah pembaharuan institusi dan demokrasi yang lebih sihat perlu diteruskan. Jika dilakukan secara kolektif, kestabilan politik akan mengukuhkan lagi hasil ekonomi dan sosial Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN