JKKN anjur Webinar Makmal Usahawan Seni Budaya bermula 25 Ogos ini - Utusan Malaysia

JKKN anjur Webinar Makmal Usahawan Seni Budaya bermula 25 Ogos ini

PENGANJURAN Webinar Makmal Usahawan Seni Budaya (MAUS) memberi ruang kepada penggiat seni budaya meningkatkan daya saing dalam era digital.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan menganjurkan Webinar Makmal Ushawan Seni Budaya (MAUS) Siri 2 selama tiga hari bermula 25 Ogos ini.

Program itu akan diadakan secara dalam talian melalui platform www.clodtheartre.com dan disiarkan di Facebook JKKN TV.

Menurut JKKN, penganjuran program Makmal Usahawan Seni Budaya (MAUS) telah bermula sejak 2015, melibatkan negeri mengikut zon setiap tahun dengan jalinan kerjasama strategik daripada pelbagai agensi, jabatan, syarikat swasta dan penggiat budaya.

Katanya, bermula tahun ini, program berkenaan dilaksanakan secara dalam talian akibat kekangan semasa pandemik Covid-19.

“Penglibatan seramai 460 orang peserta pada penganjuran webinar MAUS Siri 1 Jun lalu membuktikan program ini telah berjaya menarik ramai penyertaan usahawan seni budaya daripada pelbagai bidang untuk turut serta dan menjadikan webinar sebagai platform pertemuan, diskusi dan perkongsian ilmu dalam bidang perniagaan yang semakin mencabar terutama di pasca Pandemik Covid 19 ini.

“Penganjuran Webinar MAUS Siri 2 terbahagi kepada tiga segmen iaitu Pemasaran Digital, Bicara Selebriti Seni dan Positif Minda,” katanya dalam kenyataan.

Tambah JKKN, Webinar MAUS Siri 2 bakal membariskan ahli panel daripada pelbagai bidang seperti Coach Shila Hakim, Puan Sri Tiara Jacquelina, Bernard Goh, Datuk Ramli Ibrahim, Puan Sri Sabera Shaik, Ahmad Fadzli Yusof serta penampilan Kartini Kamalul Ariffin dan Harun Tahir (Helmi Gimmick) selaku moderator.

“Ia juga dijangka akan menarik lebih ramai penyertaan daripada usahawan seni budaya, justeru dapat mewujudkan jalinan kerjasama strategik dan silang niaga dalam kalangan peserta.

“Melalui penganjuran program kali ini, peserta akan lebih memahami dan dapat mempraktikkan ilmu yang diperolehi dengan lebih efektif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan JKKN, Mesran Mohd. Yusop berkata, penganjuran Webinar MAUS dapat memberi ruang kepada usahawan seni budaya untuk meneroka dengan lebih jauh melalui dunia digital.

Beliau berkata, fenomena baharu itu perlu dimanfaatkan dengan mentransformasi perniagaan sedia ada untuk membawa perubahan dan membangunkan model perniagaan menggunakan teknologi digital terkini.

“Usahawan seni budaya wajar meneroka dunia digital ini untuk bangkit semula selepas melalui detik sukar Covid-19. Melalui perubahan ini secara tidak langsung akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan seni budaya yang lebih berdaya saing bukan sahaja di peringkat tempatan malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Webinar MAUS, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my, Facebook www.facebook.com/mysenibudaya atau hubungi talian 03-2614 8200. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.