BPMB tawar pembiayaan RM5.6 bilion - Utusan Malaysia

BPMB tawar pembiayaan RM5.6 bilion

EKONOMI negara dijangka merekodkan pertumbuhan elbih baik selepas lebih banyak sektor perniagaan dibenarkan beroperasi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sokong pemulihan ekonomi negara, tawar lima skim pembiayaan

PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menawarkan lima skim pembiayaan berjumlah RM5.6 bilion bagi menyokong pemulihan ekonomi negara.

Skim tersebut menyasarkan sektor strategik utama iaitu Digitalisasi; Kelestarian; Maritim dan Logistik; Pelancongan; serta Pengangkutan Awam.

Setakat ini, skim telah menyaksikan sejumlah RM2.4 bilion diluluskan dan sehingga RM3.2 bilion masih tersedia.

NAZIR RAZAK

Pengerusi BPMB, Datuk Seri Nazir Razak berkata, wabak Covid-19 telah memberikan waktu sukar untuk perniagaan dan industri, jadi sebagai institusi kewangan pembangunan, BPMB akan berperanan sebagai pemangkin untuk membantu pemulihan perniagaan dan ekonomi.

Ujarnya, situasi ini belum pernah terjadi sebelumnya jadi BPMB harus meningkatkan pinjaman bertentangan kitaran dengan melihat daya maju perniagaan dalam jangka masa yang panjang sekali gus memberikan sokongan terhadap syarikat yang terjejas.

“Sejak awal, BPMB telah menjadi rakan kongsi yang kuat untuk perniagaan yang mendukung pembangunan ekonomi Malaysia dan meningkatkan kehidupan rakyat.

“Berpandukan visi dan misi kami sebagai rakan pembangunan terkemuka di Malaysia, kami memperkuatkan fokus BPMB berdasarkan keperluan penting negara pada masa ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Nazri, Skim Transformasi Digitalisasi Industri (IDTS) bernilai RM1 bilion ditawarkan untuk transformasi kemampuan perindustrian Malaysia dengan menyokong ekosistem yang tepat untuk Industri 4.0, menjadikan Malaysia sebagai pilihan tinggi lokasi pembuatan teknologi.

Kata beliau, Skim Pembiayaan Pembangunan Berkesan (SDFS) pula dicipta untuk menyokong usaha kerajaan dalam melaksanakan 17 matlamat pembangunan lestari (SDGs) di bawah program pembangunan United Nation 2030 dengan peruntukan RM2 bilion.

“Skim Maritim dan Logistik (MLS) juga ditubuhkan untuk menyokong aktiviti dan perkhidmatan berkaitan maritim termasuk aeroangkasa dan aktiviti logistik.

“MLS bernilai RM1.5bilion dibuka untuk membiayai pemerolehan kapal, kapal terbang, pembangunan galangan kapal dan hangar, pembinaan pelabuhan, gudang bon dan juga logistik yang berkaitan dengan sektor maritim dan aeroangkasa,” ujarnya.

Tambah Nazri, Skim Infrastruktur Pelancongan (TIS) bernilai RM1 bilion juga dibentuk untuk memberi bantuan kewangan kepada syarikat sedia ada dan baharu yang berurusan atau terlibat dalam aktiviti serta perkhidmatan berkaitan dengan pelancongan.

“TIS ditadbir bersama oleh BPMB dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mempromosikan sektor pelancongan termasuk kegiatan yang menyumbang kepada pengembangan industri pelancongan Malaysia termasuk hotel, pusat konvensyen dan kemudahan yang berkaitan dengan pelancongan pendidikan, perubatan atau agro.

“Selain itu, Skim Pengangkutan Awam (PTS) bernilai RM100 juta juga dibangunkan bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan oleh orang ramai dengan membiayai peningkatan dan pertumbuhan liputan pengangkutan awam dan perkhidmatan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN