BNM kemas kini Rangka Kerja Kadar Rujukan - Utusan Malaysia

BNM kemas kini Rangka Kerja Kadar Rujukan

NOR SHAMSIAH MOHD. YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penerbitan Rangka Kerja Kadar Rujukan yang dikemas kini dan mula berkuat kuasa pada 1 Ogos tahun hadapan.

Menurut BNM, di bawah rangka kerja tersebut, Kadar Asas Standard akan menggantikan Kadar Asas (BR) sebagai kadar rujukan bagi pinjaman runcit berkadar terapung yang baharu.

Katanya, Kadar Asas Standard itu akan dihubungkan hanya kepada Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang bermakna Kadar Asas Standard hanya akan berubah apabila berlaku perubahan kepada OPR yang ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari BNM.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, penggunaan OPR sebagai Kadar Asas Standard akan memudahkan perbandingan dan lebih telus kepada pengguna.

“Pelanggan akan lebih mudah memahami perubahan dalam bayaran balik pinjaman mereka memandangkan OPR akan menjadi satu-satunya penentu bagi Kadar Asas Standard.

“Kadar Asas Standard juga akan menyokong transmisi dasar monetari yang berkesan kerana pelarasan sepenuhnya pada bayaran balik pinjaman runcit akan dilaksanakan mengikut perubahan pada OPR,” katanya dalam kenyataan.

Menurut BNM, penggunaan BR sebagai kadar rujukan sebelum ini membolehkan institusi kewangan menggunakan kaedah yang berbeza untuk menetapkan BR masing-masing.

Katanya, ini menyebabkan pengguna lebih sukar membandingkan produk pinjaman runcit yang ditawarkan setiap institusi kewangan dan memahami sebab-sebab di sebalik perubahan pada bayaran balik pinjaman mereka.

“Selain itu, kaedah penetapan BR yang berbeza antara institusi kewangan telah menyebabkan transmisi dasar monetari yang semakin tidak sekata,” katanya.

BNM menjelaskan, tempoh peralihan selama setahun sebelum Kadar Asas Standard berkuat kuasa pada Ogos tahun hadapan akan memberikan masa mencukupi untuk institusi kewangan membuat persediaan dan penambahbaikan sistem yang diperlukan bagi memastikan pelaksanaan rangka kerja yang dikemas kini berjalan dengan lancar.

“Peralihan kepada Kadar Asas Standard tidak akan memberikan kesan kepada kadar pinjaman efektif bagi pinjaman runcit sedia ada kerana pinjaman runcit sedia ada akan terus menggunakan BR dan Kadar Pinjaman Asas (BLR) sebagai rujukan.

“Selepas tarikh kuat kuasa tersebut, BR dan BLR akan bergerak betul-betul seiring dengan Kadar Asas Standard. Jika berlaku pelarasan pada Kadar Asas Standard, BR dan BLR akan diselaraskan secara serentak.

“Sehubungan itu, institusi kewangan akan terus memaparkan BR dan BLR mereka selain memaparkan Kadar Asas Standard di semua cawangan dan laman sesawang mereka selepas tarikh kuat kuasa untuk rujukan pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×