PETALING JAYA: Southern Power Generation (SPG) dinobatkan sebagai Stesen Janakuasa Terbaik 2021 oleh POWER Magazine, penerbitan dari Amerika Syarikat.
Majalah itu mengkhusus kepada berita perundangan dan kawal selia serta maklumat operasi dan penyelenggaraan berkaitan industri penjanaan tenaga.
Menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB), SPG adalah stesen janakuasa pertama yang menggunakan turbin gas General Electric (GE) 9HA.02 secara komersial.
Jelasnya, turbin itu adalah model terbaharu yang paling efisien keluaran GE yang menampilkan integrasi teknologi serta menjadi contoh kepada keseimbangan terhadap pemeliharaan alam sekitar, kemampuan dan daya harap sistem tenaga di Malaysia.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti berkata, anugerah itu melambangkan satu lagi pengiktirafan terhadap kejayaan TNB menyempurnakan projek besar dengan menggunakan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan tenaga negara.
Beliau berkata, TNB sentiasa memilih untuk menggunakan teknologi terkini dalam projek janakuasa bagi menyampaikan tenaga elektrik yang selamat, berdaya harap dan mampan kepada pelanggan.
“Bagi SPG, kejayaan ini diperolehi menerusi kerjasama dan sokongan semua pemegang taruh termasuk badan kawal selia, pihak berkuasa, rakan usaha sama projek, pembiaya dan kontraktor,” katanya dalam kenyataan.
SPG yang mengendalikan dua loji janakuasa 720 megawatt (MW) setiap satu, terletak di Pasir Gudang, Johor dan menjadi elemen penting terhadap pengukuhan kestabilan bekalan elektrik Semenanjung Malaysia.
“Dengan menggunakan gas asli sebagai bahan api utama, turbin kitaran gabungan 9HA.02 mampu menjana elektrik dengan kadar kecekapan melebihi 60 peratus,” katanya.
Kata beliau, dengan menggunakan teknologi terkini yang paling efisien, ia membolehkan TNB mengurangkan tahap pelepasan yang dibebaskan loji janakuasa konvensional.
Ia juga adalah bukti komitmen TNB terhadap masa depan tenaga yang mampan serta menyeimbangkan keperluan untuk menyalurkan bekalan tenaga yang berdaya harap, katanya. – UTUSAN










