SME Bank perkenal Sukuk Wakalah RM3 bilion - Utusan Malaysia

SME Bank perkenal Sukuk Wakalah RM3 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SME Bank telah memperkenalkan Program Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion.

SME Bank juga akan menjadi Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) pertama di negara yang menerbitkan Sukuk Kelestarian bagi memenuhi keperluan dana dan modal kerjanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Penerbitan Sukuk Kelestarian oleh SME Bank adalah tepat pada masanya terutama sewaktu pandemik berlaku di mana terdapat keperluan untuk menyeimbangkan antara menjalankan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan dan melakukan kebaikan bagi memenuhi tanggungjawab terhadap persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Usaha SME Bank untuk menjadi sebahagian daripada trend global merupakan satu langkah yang bijak bagi menjamin jejak kewangan yang kukuh dalam landskap kewangan negara buat masa sekarang dan pada masa akan datang.

“ESG akan menjadi satu norma pada masa hadapan dan perusahaan kecil sederhana (PKS) perlu bersedia untuk menerima pakai prinsip-prinsip ini dalam operasi harian mereka. Kerajaan, pihak bank dan pihak berkepentingan yang memiliki kemampuan untuk melakukan perubahan perlu memimpin dan mendorong transformasi berterusan PKS,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi SME Bank, Datuk Seri Nazir Ariff berkata, SME Bank terus memenuhi mandatnya untuk memupuk dan membangunkan PKS negara dengan sokongan padu daripada kerajaan dan semua pihak berkepentingan.

“Penarafan AAAIS yang diberikan oleh Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) untuk Program Sukuk Wakalah ini merupakan bukti kekuatan dan komitmen kami dalam mendukung mandat ini.

“SME Bank telah memasukkan elemen-elemen ESG dalam menjalankan mandat sejak penubuhannya dan dengan rangka kerja ESG kami sendiri, ditambah dengan rangka kerja Sukuk Kelestarian, ini merupakan langkah bagi menegaskan dan mengukuhkan visi dan misi Bank serta meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai kepentingan pembangunan lestari,” jelasnya.

ARIA PUTERA ISMAIL

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail menjelaskan, hasil daripada penerbitan Sukuk Kelestarian itu akan disalurkan untuk membiayai projek-projek yang secara langsung menyokong 11 daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ujarnya, 11 kategori yang terpilih diselaraskan dengan kategori projek hijau dan sosial yang diakui oleh Piawaian Bon Lestari ASEAN (ASEAN SUS), Piawaian Bon Sosial ASEAN (ASEAN SBS) dan Piawaian Bon Hijau ASEAN (ASEAN GBS) yang dikeluarkan oleh Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF).

“11 kategori itu juga diselaraskan dengan Garis Panduan Bon Lestari (SBG), Prinsip Bon Hijau (GBP) dan Prinsip Bon Sosial (SBP) yang dikeluarkan oleh Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ICMA) dan mengikuti garis panduan standard daripada Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Kategori projek hijau itu menyasarkan enam sektor utama iaitu tenaga, pembuatan, pengangkutan, bangunan, sisa dan air,” kata Aria Putera.

Menurutnya, sektor-sektor itu telah dikenal pasti oleh Pelan Induk Teknologi Hijau bagi membantu pertumbuhan teknologi hijau di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN