Sekatan ekonomi bantu kurangkan kemalangan, kematian di tempat kerja - Utusan Malaysia

Sekatan ekonomi bantu kurangkan kemalangan, kematian di tempat kerja

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan tahun lalu bagi membendung Covid-19 telah membantu menurunkan kadar kemalangan dan kematian di tempat kerja.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, kadar kemalangan pekerjaan kebangsaan pada tahun lalu menurun sebanyak 20 peratus kepada 32,674 kes daripada 40,811 kes yang direkodkan tahun sebelumnya.

Beliau berkata, penurun itu telah mendorong kadar kemalangan pekerjaan bagi setiap 1,000 pekerja turun 0.53 mata kepada 2.18 berbanding 2.71 pada 2019.

Katanya, laporan menunjukkan jumlah kematian akibat kemalangan pekerjaan turun sebanyak 266 kes kepada 312 kes tahun lalu daripada 578 kes 2019, menjadikan kadar kematian kemalangan pekerjaan bagi setiap 100,000 pekerja turun kepada 2.09 tahun lalu daripada 3.83 tahun sebelumnya.

“Berdasarkan analisis yang telah dibuat, sasaran kerajaan bagi mencapai pengurangan kadar kemalangan pekerjaan kepada 2.53 dan kadar kematian 4.36 pada 2020 telah dicapai secara keseluruhannya.

“Antara faktor utama yang menyumbang kepada penurunan statistik ini adalah langkah-langkah penutupan dan sekatan yang dikenakan oleh kerajaan terhadap aktiviti ekonomi bagi  membendung penularan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara dan juga dunia pada masa ini.

“Statistik suku tahunan menunjukkan penurunan mendadak sebanyak 44.6 peratus daripada jumlah kemalangan pekerjaan dan 62.1 peratus kematian akibat kemalangan pekerjaan dicatatkan pada suku kedua 2020, apabila sekatan pergerakan yang ketat dikuat kuasakan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan sempena penerbitan Analisis Data Raya: Statistik Kemalangan Pekerjaan Negara 2020.

Mohd. Uzir berkata, secara amnya, semua negeri merekodkan jumlah dan kadar kemalangan pekerjaan yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

“Walaupun begitu, enam negeri telah merekodkan kadar kemalangan pekerjaan yang lebih tinggi berbanding kadar kemalangan pekerjaan kebangsaan iaitu Johor (3.55), Perak (3.32),  Pulau Pinang (3.25), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.14), Negeri Sembilan (3.08) dan Melaka (2.74),” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 84.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan dan 98.4 peratus daripada jumlah kematian akibat kemalangan pekerjaan adalah lelaki, iaitu peratusan komposisi yang sama pada tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, sebanyak sebanyak 27,754 kes (84.9 peratus) melibatkan pekerja warganegara dan selebihnya 4,920 kes (15.1 peratus) bukan warganegara.

“Jumlah kemalangan pekerjaan tertinggi direkodkan dalam industri pembuatan dengan 10,303 kes, diikuti perkhidmatan (8,008 kes), pembinaan (3,958 kes), dan perdagangan borong dan runcit (3,429 kes),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN