PETALING JAYA: Pharmaniaga Berhad menjangkakan pembekalan 12.4 juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan dapat diselesaikan minggu hadapan, empat bulan lebih awal berbanding jangkaan awal.
Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Zulkarnain Eusop, setakat hari ini syarikat itu telah membekalkan 11.5 juta dos vaksin atau 93 peratus daripada jumlah keseluruhan kepada kerajaan melibatkan produk isi siap (fill and finish) dan produk siap.
Kata beliau, 3.6 juta daripada dos yang telah dibekalkan merupakan produk isi siap manakala 7.9 juta lagi produk siap yang diimport.
“Selain produk isi siap yang dihasilkan di kilang kami, kami turut membekalkan produk siap untuk mempercepat pembekalan kepada kerajaan bagi menangani lonjakan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia.
“Kontrak antara kami dengan kerajaan sepatutnya tamat pada November namun disebabkan peningkatan kes, kami mempercepat dengan menggabungkan (pembekalan) produk isi siap dan produk siap,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya hari ini.
Zulkarnain menjelaskan, pihaknya turut bersedia untuk membekalkan dos vaksin kepada pihak swasta dan kerajaan namun hanya selepas semua dos kepada kerajaan dibekalkan, termasuk dos tambahan sekiranya diminta.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin untuk mendapatkan vaksin dari mana-mana pihak untuk terus mempercepat program vaksinasi rakyat Malaysia.
Kata beliau, ia termasuk daripada Pharmaniaga sekiranya syarikat itu mampu menyediakan bekalan tambahan dua ke tiga juta dos.
Zulkarnain berkata, pihaknya bersedia membekalkan dua juta dos tambahan seperti diminta kerajaan.
“Jika ada permintaan tambahan seperti yang diminta Perdana Menteri, kami akan bekalkan dua juta itu dahulu dan kita lihat bagaimana untuk tidak mengganggu bekalan kepada pihak swasta dan kerajaan negeri,” katanya.
Menurut Zulkarnain, setakat ini pihaknya mendapat permintaan lebih lima juta dos vaksin daripada kerajaan negeri dan swasta.
“Bekalan pada kami menjelang hujung bulan ini, tidak termasuk 12 juta dos untuk kerajaan, adalah hampir sejuta dos melibatkan kedua-dua produk isi siap dan produk siap,” katanya. – UTUSAN