PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menganugerahkan Blok SK437 di luar pesisir Sarawak kepada Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB), Sarawak Shell Berhad (SSB) dan Petroleum Sarawak Exploration and Production Sdn Bhd (PSEP) yang merupakan anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya Sarawak Berhad (Petros).
Blok SK437 terletak di sebelah barat daya daerah Luconia Tengah, berkeluasan 2,015 kilometer persegi dan kedalaman air hingga 50 meter.
Penganugerahan blok ini adalah diharapkan dapat meningkatkan aktiviti penerokaan di negara ini dan khususnya di luar pesisir Sarawak.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Petronas Malaysia, Mohamed Firouz Asnan berkata, perkongsian terbaharu itu diharap dapat membawa industri ke tahap yang lebih tinggi melalui kekuatan dan keupayaan yang kukuh.
“Kami juga mengalu-alukan penglibatan pertama PSEP dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) eksplorasi luar pesisir, yang memperluas portfolio kepentingan penyertaan menerusi PSC MLNG dan Kumang Cluster.
“Penganugerahan terbaharu ini adalah bukti daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan global.
“Kami berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi sumber hidrokarbon di Malaysia, sehingga dapat memaksimumkan nilai untuk rakan kongsi kami dan Petronas sebagai pemelihara sumber hidrokarbon nasional,” katanya dalam kenyataan.
Kontrak PSC SK437 telah ditandatangani semalam di antara Mohamed Firouz; Naib Presiden Cari Gali dan Huluan Petronas, Emeliana Rice-Oxley; Presiden Shell Malaysia, Ivan Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros, Datuk Sauu Kakok.
SSB adalah pengendali untuk Blok SK437 PSC, dengan 85 kepentingan penyertaan, sementara PCSB dan PSEP masing-masing memegang 7.5 peratus.
Kepentingan PCSB dan PSEP dilaksanakan selama fasa penerokaan. SK437 adalah tambahan baharu untuk kepentingan Shell sedia ada di 15 PSC dengan lapan daripadanya terletak di pinggir pantai Sarawak, sementara tujuh lagi di pinggir pantai Sabah.
Pelabur berpotensi yang ingin melabur di Malaysia dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam Pusingan Tawaran Malaysia 2021 (MBR 2021) yang sedang berlangsung dengan tarikh akhir penyerahan tawaran ditetapkan pada 3 September 2021. – UTUSAN










