PUTRAJAYA: Hubungan Malaysia-Bangladesh diperkukuhkan lagi menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dalam pembekalan gas asli cecair (LNG).
Ia bakal menyaksikan syarikat minyak kebangsaan, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) membekalkan bahan tenaga lestari itu kepada PetroBangla Corp. milik kerajaan Bangladesh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika berucap pada majlis berkenaan malah meluahkan keyakinan tinggi dengan kerjasama baharu itu.
“Saya berbesar hati untuk memaklumkan Malaysia berpotensi besar dalam pemasaran LNG malah kami merupakan pengeksport LNG yang keempat terbesar dunia tahun lalu,” katanya.
Beliau menyatakan demikian sebelum menandatangani MoU tersebut bersama-sama Menteri Sumber Galian, Tenaga dan Kuasa Bangladesh, Nasrul Hamid secara maya, di sini semalam.

Juga hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Maznah Md. Hashim dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Md. Golam Sarwar.
Negara tersebut merupakan rakan ekonomi kedua terbesar di rantau Asia Selatan selepas India dengan nilai perdagangan pada tahun lepas merekodkan AS$1.43 bilion (RM5.9 bilion).
Kedua-dua negara menjalinkan diplomatik sejak 1972 serta berkongsi banyak platform sejagat melalui Komanwel, Pertubuhan Kerjasama Islam, Pergerakan Negara Berkecuali dan D-8.
Menerusi MoU bersejarah itu, Petronas dijangka menghantar bekalan LNG secara konsisten untuk PetroBangla Corp. bagi memenuhi stok keperluan lebih 160 juta penduduk Bangladesh.
“Kerjasama sebegini diharap diperluaskan lagi ke sektor ekonomi lain pada masa akan datang sejajar hasrat capai kemakmuran bersama dan masa depan lebih mampan,” kata Mustapa.
Terma komersial bagi pembekalan LNG itu ujar beliau, akan dibincang dan diperhalusi oleh kedua-dua pihak demi menggapai manfaat bersama selepas pemeteraian MoU berkenaan.
Ketika ini, Petronas menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petronas LNG Limited berupaya menghasilkan kapasiti pengeluaran bahan mineral tersebut sekitar 30 juta tan setiap tahun.
Terdahulu pada 7 Julai lalu, ia turut memenangi kontrak tetap pembekalan LNG selama 10 tahun kepada subsidiari kerajaan China dengan nilai keseluruhan yang berjumlah RM29 bilion.
LNG dari Malaysia kebanyakannya dieksport ke beberapa negara Asia antaranya Jepun, Korea Selatan, Filipina, Pakistan, Sri Lanka dan Vietnam yang mula beralih kepada tenaga hijau.
“Mineral ini merupakan antara sumber tenaga mampan dan cekap serta berpotensi luas untuk menyokong agenda pembangunan selain memenuhi permintaan domestik,” jelas Mustapa. – UTUSAN










