PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melancarkan empat teknologi baharu sempena Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) 2021 yang diadakan secara maya hari ini.
Teknologi itu merangkumi kawalan penyakit tanaman sawit, penghasilan produk biojisim bagi rawatan sisa buanngan kilang kelapa sawit (POME) dan jentera pemunggah buah tandan segar di ladang.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, MPOB sehingga kini telah memperkenalkan sebanyak 709 teknologi dan 191 perkhidmatan untuk dikomersialkan oleh pihak industri dan usahawan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 221 teknologi atau inovasi telah dikomersialkan termasuk oleh usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini menyumbang kepada kadar pengkomersialan MPOB sebanyak 31.17 peratus,” katanya ketika merasmikan program itu.
Teknologi MPOB yang sedia untuk dikomersialkan meliputi pengeluaran bahan tanaman, formulasi baja sawit, teknik kawalan penyakit dan serangga perosak, kejenteraan ladang, teknologi pengilangan dan formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.
Pengkomersialan teknologi MPOB telah menyumbang pendapatan dengan anggaran nilai pasaran melebihi RM5 bilion.
Mohd. Khairuddin berkata, teknologi yang ditawarkan memberi manfaat secara langsung kepada penggiat industri melalui peningkatan produktiviti dan kualiti minyak sawit dan produk yang dihasilkan.
Katanya, teknologi yang dibangunkan oleh penyelidik MPOB memberi peluang perniagaan kepada pihak industri dan usahawan tempatan PKS bagi menghasilkan produk secara komersial di pasaran yang menjana pendapatan.
Beliau berkata, kemajuan bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi yang diterajui oleh MPOB telah menyumbang kepada perkembangan industri sawit negara.
“Perkembangan pesat industri sawit khususnya dalam tempoh empat dekad yang lalu telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih tiga juta rakyat termasuk pekebun kecil sawit.
“Keluasan tanaman sawit yang mencecah hampir enam juta hektar atau lebih 70 peratus keluasan kawasan tanah pertanian negara, menghasilkan pengeluaran hampir 20 juta tan minyak sawit mentah setahun yang menjana pendapatan eksport negara sebanyak RM73.25 bilion pada 2020,” katanya. – UTUSAN










