PETALING JAYA: Glomac Berhad mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi tahun kewangan 2021 (TK2021) berakhir 30 April lalu yang belum diedit, dengan pendapatan melonjak 125 peratus kepada RM28.3 juta, di sebalik cabaran pandemik Covid-19.
Bagi suku keempat tahun kewangan dilaporkan, hasil Kumpulan melonjak 98 peratus kepada RM115.4 juta, manakala untung sebelum cukai meningkat kepada RM20.9 juta.
Menurut Glomac, prestasi kukuh tersebut dipacu terutamanya oleh aktiviti pembinaan yang semakin rancak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghasilkan bil peringkat penyiapan lebih tinggi daripada projek yang sedang dilaksanakan.
Projek itu seperti Saujana Perdana di Bandar Saujana Utama, Plaza@Kelana Jaya, Saujana Rawang dan 121 Residences.
Jelasnya, tahap keuntungan keseluruhan juga disokong oleh perbelanjaan faedah lebih rendah, pelbagai langkah penghematan kos yang diambil dan kerugian nilai saksama lebih rendah atas hartanah pelaburan sebanyak RM13 juta berbanding RM24.6 juta tahun kewangan 2020.
“Untuk tempoh terkumpul 12 bulan TK2021, Kumpulan melaporkan hasil berjumlah RM366.3 juta, iaitu peningkatan 49 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Untung sebelum cukai meningkat 186 peratus kepada RM57.7 juta seiring peningkatan aktiviti pembinaan dan kerugian nilai saksama lebih rendah atas hartanah pelaburan berbanding tahun kewangan 2020.
“Kedudukan kewangan Kumpulan tetap teguh, dengan pegangan tunai berjumlah RM218.2 juta dan nisbah semasa 1.77 kali. Hutang bersih juga pada paras yang wajar iaitu 0.25 kali, berbanding dana pemegang saham berjumlah RM1.2 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Glomac berkata, nilai aset bersih sesaham Kumpulan berada pada paras RM1.45 dan bagi tahun kewangan dilaporkan, Lembaga Pengarah mencadangkan pembayaran dividen satu peringat akhir sebanyak 1 sen sesaham biasa, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan datang.
Tambahnya, bagi tahun dilaporkan, Glomac mencatatkan jualan baharu bernilai RM231 juta walaupun dikekang oleh pandemik Covid-19.
“Pencapaian jualan ini disokong oleh kombinasi strategik tawaran produk yang sesuai dan strategi pemasaran di luar kelaziman. Glomac menyesuaikan diri kepada persekitaran semasa dengan memulakan kempen pemasaran digital untuk menyokong strategi jualan konvensional, yang berjaya mendorong pelanggan membuat keputusan untuk membeli dan meningkatkan jualan,” jelasnya.
Meninjau tahun kewangan akan datang, Glomac menjangkakan pasaran hartanah mungkin terus menghadapi cabaran memandangkan pandemik Covid-19 masih belum reda.
Bagaimanapun katanya, pemvaksinan besar-besaran, kadar faedah lebih rendah dan lanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) berpotensi memberikan sokongan yang amat diperlukan kepada sektor hartanah dalam jangka pertengahan.
“Dari segi tinjauan prestasi syarikat, keuntungan pendapatan Glomac dijangka kukuh, disokong oleh jualan belum dibil berjumlah RM578 juta.
“Dalam jangka panjang, Glomac akan meneruskan pelancaran baharu secara strategik, memanfaatkan portfolio pembangunan kukuh dengan potensi Nilai Pembangunan Kasar (GDV) mencecah RM8 bilion yang akan menjamin kemampanan operasi Kumpulan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya. – UTUSAN










