PETALING JAYA: Kerajaan diminta untuk tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan ketika pelaksanaan bantuan bayaran balik pinjaman automatik pertama tahun lalu apabila rakyat keliru tentang terma dan syarat sebenar inisiatif tersebut.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, syarat dan terma yang ditetapkan pihak ketika ini masih kabur walaupun Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menyatakan tiada faedah tambahan dikenakan.
“Kenyataan Tengku Zafrul (bahawa peminjam masih perlu) berbincang dengan pihak bank untuk syarat dan terma menjadikan rakyat dalam kebingungan.
“Adakah kerajaan tidak berbincang dengan pihak bank? Kepada siapa pula akan dituding jari selepas ini? Jika kita mengimbau kembali moratorium pertama, akhirnya tuding-menuding berlaku antara kerajaan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak bank,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sehubungan itu, Baharom berharap supaya institusi perbankan dapat bersikap telus dan memberikan penjelasan secukupnya.
“Saya amat berharap agar pihak bank dapat bersikap terbuka dan menjelaskan perkara ini dengan membuat kenyataan yang mudah, tepat dan difahami rakyat,” katanya.
Kelmarin, Tengku Zafrul dilaporkan membuat pengesahan bahawa moratorium automatik yang ditawarkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) tidak melibatkan faedah berganda dan caj penalti lewat bayar oleh bank-bank, berbeza dengan moratorium yang ditawarkan tahun lalu.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan peminjam perlu berbincang dengan pihak bank bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas terutamanya berkenaan pengecualian faedah memandangkan setiap bank menawarkan skim moratorium yang berbeza.
Menurut Baharom, moratorium perlu dilaksanakan mengikut ‘roh’ asalnya, iaitu sebagai bantuan kepada rakyat dengan memberikan ‘cuti’ dari membayar pembiayaan atau pinjaman.
“Atau lebih tepat lagi, tiada langsung faedah dikenakan. Bukan sahaja faedah tambahan, malah faedah biasa sepanjang tempoh moratorium itu.
“Pengorbanan dan bantuan pihak bank ini akan dihargai dan dalam jangka masa panjang akan mendatangkan pulangan kepada pihak bank juga,” katanya. – UTUSAN










