PETALING JAYA: Anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)( MBI) dan Grab Malaysia menandatangani perjanjian kerjasama strategik bagi menjayakan agenda digitalisasi negeri tersebut.
Kerjasama strategik itu bertujuan mewujudkan ekosistem untuk memudahkan rakyat Selangor memanfaatkan teknologi dan digitalisasi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kolaborasi antara kerajaan negeri dengan Grab Malaysia telah berjaya memberi kesan positif kepada rakyat Selangor dalam menjalani kehidupan norma baharu berikutan pandemik Covid-19 yang masih belum reda.
“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa meneroka peluang dan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam membantu rakyat negeri ini untuk mengharungi kehidupan yang mencabar di masa ini, seterusnya menjadikan ianya sebahagian daripada kebiasaan baharu nanti.
“Alhamdulillah, kolaborasi Kerajaan Negeri dengan Grab Malaysia banyak memberikan peluang kepada rakyat Selangor untuk meneruskan kehidupan pada masa yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan.
Majlis tandatantangan perjanjian yang diadakan secara maya itu telah disaksikan oleh Amirudin dengan MBI diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norita Mohd. Sidek manakala Grab Malaysia diwakili Pengarah Hal Ehwal Awam dan Polisi, Ebi Azly Abdullah.
Melalui perjanjian kerjasama itu, Grab Malaysia akan terlibat secara langsung bagi menjayakan inisiatif-inisiatif di dalam agenda digitalisasi negeri Selangor melalui perkhidmatan GrabExpress, GrabFood, GrabCar dan GrabPay.
Amirudin menjelaskan, kolaborasi itu telah bermula sejak tahun lalu apabila Grab Malaysia membantu peniaga bazar Ramadhan untuk berniaga secara online menerusi GrabFood.
Ujarnya, melalui GrabExpress pula, mereka telah membantu peniaga-peniaga kecil untuk meluaskan jangkauan pelanggan dalam memasarkan produk-produk mereka. Para peniaga juga didorong untuk melakukan transaksi tanpa tunai melalui GrabPay dan beberapa platform lain.
“Saya difahamkan yang GrabExpress membantu peniaga kecil dengan menawarkan 9,000 penghantaran percuma bernilai RM225,000 ditaja oleh Grab Malaysia.
“Sebagai penghargaan Kerajaan Negeri Selangor akan memperuntukkan sejumlah kad SIM percuma kepada rakan penghantar Grab bagi membantu mengurangkan kos operasi mereka,” katanya.
Amirudin telah mengumumkan rebat pengangkutan bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan GrabCar untuk pergi mengambil vaksin di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin di Negeri Selangor.
Kini, menurut beliau, program rebat pengangkutan bagi mendapatkan vaksin dibuka kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira umur.
“Saya ingin menyeru agar lebih banyak lagi pihak-pihak luar dapat bersama-sama kita untuk mengharungi tempoh yang sukar ini dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat Negeri Selangor,”katanya.
Kerajaan Negeri Selangor menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 telah merangka 3 strategi utama iaitu Menjaga Kebajikan dan Kelangsungan Hidup Rakyat, Menyelamatkan Industri dan Sektor Ekonomi serta Usahawan di Selangor, dan Kawalan Kesihatan Untuk Mengekang Penularan Wabak. – UTUSAN










