Disebabkan ekonomi tidak stabil akibat pandemik
PETALING JAYA: Jumlah majikan yang berkurang dilihat sebagai antara faktor pengangguran di kalangan belia dan siswazah semakin meningkat.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, berdasarkan laporan Tenaga Buruh yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini, jumlah majikan telah berkurang sebanyak 80,000 dari 2019 hingga 2020.
“Itu menyebabkan lebih rendah peluang untuk belia (dan siswazah) mendapatkan pekerjaan pada masa kini. Punca utama perkara ini berlaku sudah semestinya kerana suasana ekonomi yang tidak stabil ketika ini.
“Ia menyebabkan ramai majikan dan perniagaan tidak mampu untuk mengambil pekerja baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahmed Razman menjelaskan, jika perkara itu berterusan dan dibiarkan, ia bukan sahaja akan menjejaskan individu malah akan membantutkan pembangunan negara kerana belia tidak dapat menyumbang kepada ekonomi kerana tiada pekerjaan sekali gus menyebabkan masalah sosial menjadi lebih serius.
Ujarnya, ia juga boleh menyebabkan berlakunya jurang pendapatan antara belia dan mereka yang telah bekerja lantas menimbulkan perasaan tidak puas hati dan isu ketidaksamarataan.
“Tambahan lagi, majikan pula masih mengutamakan pekerja asing. Justeru, kerajaan harus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan memastikan majikan lebih memilih pekerja tempatan.
“Ia boleh dilakukan dengan proses digitalisasi dan automasi selain mendedahkan belia dengan kemahiran dan pengetahuan tinggi supaya mampu mengendalikan sistem atau proses perniagaan yang memerlukan kemahiran tinggi,” tambah Ahmed Razman.
Dengan cara itu, katanya, akan membolehkan belia mendapat gaji yang setimpal dengan kelayakan.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, pengangguran dalam kalangan belia berumur antara 14 hingga 24 tahun di negara ini membimbangkan yang masa ini pada kadar 12 peratus.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, keadaan lebih merisaukan kerana kebanyakan majikan pada masa ini mengamalkan polisi pembekuan pengambilan pekerja baharu.
Selain belia, masalah pengangguran turut membabitkan siswazah di mana Jabatan Perangkaan melaporkan lebih 202,000 golongan itu menganggur tahun lalu, peningkatan ketara sebanyak 22.5 peratus atau 37,200 orang daripada tahun sebelumnya.
Antara puncanya, persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan pada tahun lalu dan kesannya kepada kedudukan pasaran buruh.
Keadaan itu, menyaksikan jumlah siswazah yang bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah (iaitu guna tenaga tidak penuh atau bekerja dalam pekerjaan tidak sepadan dengan tahap kelayakan), meningkat kepada 31.2 peratus atau 1.36 juta daripada 26.7 peratus (1.10 juta) pada 2019. – UTUSAN










