PETALING JAYA: Pameran Kerjaya dan Latihan Malaysia (MCTF) yang dianjurkan bersama Jobstreet dan AIC Exhibition dari 6 hingga 12 Julai telah menarik lebih 250,000 lawatan.
Pameran tahunan yang diadakan secara digital buat pertama kali tahun inii telah menyaksikan lebih dari 35,000 lawatan setiap hari.
Mengulas mengenai perkara itu, Pengarah Urusan AIC Exhibitions Sdn. Bhd., Datuk William Ng berkata, pameran itu pada mulanya dijadualkan selama empat hari, tetapi kerana sambutan yang luar biasa, pihaknya melanjutkannya selama tiga hari lagi.
“MCTF dikenali sebagai antara pameran kerjaya terkemuka di negara, dan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian juga bersemangat untuk menolong seramai rakyat yang boleh untuk mendapatkan pekerjaan semula,” katanya dalam kenyataan.
Menurut MCTF, tahap pengangguran di negara telah bertambah baik kepada 4.5 peratus setakat 1 Mei lalu berbanding 5.3 peratus pada tahun lalu berikutan kadar vaksinasi di seluruh negara meningkat.
MCTF yang dijenamakan semula sebagai MCTF Digital pada tahun ini telah menyaksikan penyertaan beberapa syarikat yang hebat seperti AEON, Exxonmobil, Hartalega, KLK, RHB Bank, Samsung, TDCX dan Top Glove.
Menerusi pameran itu, pengunjung dapat berinteraksi secara langsung dengan syarikat yang mengambil bahagian melalui fungsi bsersembang secara langsung, melayari dan memohon untuk pekerjaan serta mengambil bahagian dalam banyak forum untuk mempersiapkan diri bekerja dalam norma baharu.
“Sebanyak 28 peratus pencari kerja mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sementara 26 peratus adalah lulusan baharu. Itu menunjukkan pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada golongan profesional yang berpengalaman serta graduan baharu.
“Tiga industri teratas yang dipilih oleh pencari kerja adalah perbankan dan kewangan, pembuatan serta minyak dan gas,” katanya.

Sementara itu, Pengurus JobStreet Malaysia, Simran Kaur berkata, acara kerjaya maya yang diadakan selama seminggu dengan lebih dari 250,000 penyertaan itu melebihi jangkaan pihaknya.
“Kami gembira dapat memainkan peranan dalam membantu rakyat Malaysia mencari pekerjaan, terutamanya semasa negara sedang mengharungi pandemik Covid-19.
“Namun, meskipun pandemik Covid-19 melanda dunia, banyak perusahaan masih merekrut pekerja, walaupun secara selektif,” jelasnya.
Ujarnya, walaupun pekerjaan masih banyak di pasaran, pencari kerja harus menggunakan pendekatan yang lebih baik dan lebih bersedia kerana permintaan majikan lebih tinggi susulan pasaran yang telah berubah dan cabaran yang akan datang. – UTUSAN










