Lebih ramai siswazah dalam guna tenaga tidak penuh
PETALING JAYA: Persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan tahun lalu dan kesannya kepada kedudukan pasaran buruh telah menyebabkan bilangan siswazah menganggur meningkat ketara sebanyak 22.5 peratus atau 37,200 kepada 202,400 orang daripada 165,200 pada 2019.
Menurut Ketua Perangkawan, pertambahan itu melibatkan pemegang ijazah sebanyak 22,400 dan diploma sebanyak 14,800 dengan sebahagian besarnya dalam kalangan siswazah berumur 35 tahun dan ke atas.
“Justeru, kadar pengangguran siswazah pada 2020 naik sebanyak 0.5 mata peratus kepada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus tahun sebelumnya. Lebih 75 peratus daripada siswazah menganggur adalah mereka yang aktif mencari kerja, yang mana hampir separuh menganggur bagi tempoh kurang dari tiga bulan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, seramai 5.36 juta siswazah direkodkan pada tahun lalu dengan peningkatan setiap tahun, seiring kesedaran akan kepentingan pendidikan tinggi dalam meningkatkan taraf hidup.
Bagaimanapun katanya, dengan keadaan pasaran buruh yang mencabar berikutan pandemik telah menyebabkan peluang pekerjaan lebih rendah dan peningkatan persaingan.
Keadaan itu menyaksikan jumlah siswazah yang bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah (iaitu guna tenaga tidak penuh atau bekerja dalam pekerjaan tidak sepadan dengan tahap kelayakan), meningkat kepada 31.2 peratus atau 1.36 juta daripada 26.7 peratus (1.10 juta) pada 2019.
“Situasi ini dilihat lebih ketara bagi siswazah diploma yang mencatatkan kadar 46.1 peratus manakala siswazah ijazah merekodkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran pada 19.2 peratus. Keadaan ini juga dapat dikaitkan dengan jumlah kekosongan jawatan yang lebih rendah di sektor ekonomi pada 2020,” jelasnya.
Kata Mohd. Uzir, dalam kalangan 4.35 juta siswazah bekerja pada 2020, lebih dua pertiga (68.8 peratus) bekerja dalam kategori pekerjaan mahir, namun bilangannya berkurang sebanyak 0.8 peratus berbanding 2019.
Katanya, dari perspektif sektor ekonomi, lebih 75 peratus (3.37 juta orang) daripada siswazah bekerja dalam sektor perkhidmatan, diikuti 14.6 peratus dalam sektor pembuatan.
Mengenai gaji, beliau berkata, purata gaji dan upah bulanan siswazah bagi pekerjaan utama sepenuh masa atau setaraf turun 10.6 peratus kepada RM4,489 daripada RM5,020 tahun sebelumnya.
“Pemegang ijazah menerima purata gaji dan upah sebanyak RM5,471 sebulan pada 2020, berkurang 9.1 peratus berbanding 2019, manakala pemegang diploma menerima purata sebanyak RM3,311, menyusut 11.5 peratus pada tempoh yang sama.
“Kategori mahir merekodkan pengurangan terbesar sebanyak 8.0 peratus kepada RM5,316 sementara kategori separuh mahir menerima RM2,418, jatuh sebanyak 2.7 peratus berbanding 2019,” kata beliau.
Mohd. Uzir berkata, terdapat sebanyak 800,900 siswazah di luar tenaga buruh pada 2020, turun buat pertama kali sebanyak 5.1 peratus daripada tahun sebelumnya, dengan penyertaan siswazah perempuan ke dalam pasaran buruh pula meningkat sebanyak 2.1 peratus. – UTUSAN










