PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat bersikap positif terhadap pemulihan ekonomi negara apabila mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, MPC mungkin melihat ekonomi negara menunjukkan pemulihan pada separuh tahun kedua ini.
Beliau berkata, pengekalan OPR itu dibuat berdasarkan beberapa faktor dan perkembangan terkini seperti kadar inflasi yang terkawal, pertumbuhan eksport dan import yang positif setiap bulan sejak akhir tahun lepas serta sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Saya menjangkakan OPR akan dikekalkan pada paras 1.75 peratus sehingga akhir tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, MPC memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 1.75 peratus, sekali gus menepati jangkaan kebanyakan penganalisis ekonomi.
Menurut BNM, keputusan itu dicapai dengan mengambil kira pemulihan ekonomi global yang kukuh disokong peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.
Malah, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari yang diambil adalah wajar dan akomodatif.
Selain itu, katanya, langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.
“Susulan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“Dalam hal itu, BNM akan terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan,” jelasnya.
BNM memberitahu, kadar pemulihan adalah berbeza-beza di mana negara-negara yang mencapai kemajuan lebih baik dalam pelaksanaan program pemberian vaksin dapat melonggarkan langkah-langkah pembendungan dan membolehkan aktiviti dalam negeri pulih dengan segera.
“Bagi ekonomi Malaysia, ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama tahun ini berterusan sehingga April berdasarkan petunjuk terkini, terutamanya eksport, perbelanjaan runcit dan keadaan pasaran pekerja,” katanya.
Bagaimanapun, bank pusat itu menjelaskan, pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara untuk mengekang penularan semula kes Covid-19 akan memperlahankan momentum pertumbuhan.
Ujarnya, tahap kesan daripada pelaksanaan langkah-langkah itu kepada ekonomi sangat bergantung pada ketegasan dan tempoh langkah-langkah pembendungan. – UTUSAN









