PETALING JAYA: Industri sawit terutamanya di peringkat huluan terlalu bergantung kepada tenaga buruh asing, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, keadaan itu bertambah buruk dalam situasi pandemik dan kekurangan pekerja dianggarkan sekitar 32,000 orang pada masa ini.
“Masalah kekurangan tenaga kerja ini dianggarkan membawa kerugian kira-kira RM10 bilion setahun berikutan buah sawit masak yang tidak dituai,” katanya ketika merasmikan Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) 2021 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) secara maya hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmed Parveez Ghulam Kadir.
Mohd. Khairuddin berkata, pihak kementerian sehubungan itu akan memberi fokus bagi pembangunan jentera ladang terutama bagi kerja-kerja penuaian buah sawit dan pengangkutan di ladang.
Kata beliau, penggunaan jentera perladangan dapat meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan kecekapan operasi ladang serta strategi ke arah mengurangkan kebergantungan yang tinggi kepada tenaga kerja asing dalam perladangan sawit.
“Penggunaan mekanisasi secara meluas di sektor perladangan juga akan menggalakkan penglibatan golongan belia untuk menceburi kerjaya dalam industri sawit yang dikaitkan dengan persekitaran kerja kurang menarik berbanding sektor lain,” katanya.
Untuk tujuan itu kata Mohd. Khairuddin, kementeriannya telah mengumumkan penubuhan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) dianggotai penggiat industri, institusi penyelidikan, ahli akademik, kementerian dan MPOB bagi meningkatkan penyelidikan dan pembangunan.
Konsortium itu juga akan meningkatkan pengkomersialan mekanisasi dan automasi ladang yang akan mengoptimumkan penggunaan teknologi bagi kecekapan penuaian buah sawit.
“MARCOP akan memberi tumpuan terhadap teknologi mekanisasi dan automasi terkini dalam kerangka Revolusi Industri (IR) 4.0 seperti penggunaan dron, robot dan sensor untuk operasi bersepadu dan sistematik.
“Konsortium ini akan diberi mandat untuk mengembangkan teknologi dan inovasi melalui perkongsian kepakaran penyelidikan dan sumber bagi kemajuan industri sawit negara,” jelasnya.
Tambah beliau, pihak kementerian juga memberi tumpuan kepada teknologi kawalan penyakit dan perosak pokok sawit yang sistematik dapat meningkatkan produktiviti hasil tanaman sawit dan mengurangkan kerugian kepada pengusaha ladang. – UTUSAN










