FoodBank.Digital platform bantu golongan memerlukan - Utusan Malaysia

FoodBank.Digital platform bantu golongan memerlukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Exabytes bersama lima lagi syarikat berganding bahu melancarkan inisiatif FooBank.Digital untuk membantu golongan yang memerlukan dengan menyediakan kelengkapan makanan melalui paltform digital.

Lima syarikat lain itu ialah EasyParcel, 91app, Pgeon Delivery, Easystore dan Easywork.

Menurut syarikat itu, berdasarkan laporan terkini, FoodBank.Digital telah menerima sebanyak 6,146 permohonan (untuk menyumbang) dalam masa hanya 4 hari selepas pelancarannya dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

“Bantuan FoodBank.Digital terbuka buat semua yang memerlukan. Ini kerana, pihak kami memahami ada dalam kalangan kita yang mungkin malu untuk tampil secara fizikal mengambil bantuan makanan di program-program tabung bantuan makakan yang telah disediakan.

“Usaha bantuan secara digital ini juga dilakukan kerana kekangan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, demi menyalurkan bantuan buat semua tanpa mengira bangsa atau kewarganegaraan, inisiatif FoodBank.Digital hanya mengenakan beberapa syarat kelayakan asas yang boleh dirujuk di www.foodbank.digital.

Tambah syarikat itu, setiap kotak bantuan makanan yang disediakan akan mengandungi keperluan makanan bernilai RM60 secara total dan dianggarkan dapat membantu satu keluarga sekurang-kurangnya selama satu minggu. Makanan asas yang disediakan termasuk beras 5kg, milo 1kg, bijirin nestum, mi segera dan biskut.

“100 peratus sumbangan yang diperoleh akan digunakan untuk pembelian keperluan makanan tersebut,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes dan Pengasas Bersama FoodBank.Digital, Chan Kee Siak berkata, pihaknya tidak mungkin dapat melakukan inisiatif itu secara bersendirian.

Justeru pihaknya menyeru individu dan syarikat yang mempunyai visi sama dengan FoodBank.Digital, melayari laman web mereka untuk menderma.

“Setiap sumbangan yang anda berikan mewakili satu harapan buat mereka yang memerlukan. Bagi pihak mereka juga, kami ingin mengucapkan terima kasih di atas jasa dan sumbangan anda. Marilah kita bersatu dalam menghadapi cabaran pandemik ini,” katanya.

Ditubuhkan pada 2001, Exabytes Network Sdn. Bhd. ialah sebuah pembekal perkhidmatan digital dan awan di Asia Tenggara. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN