PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memberi jaminan tiada dokumen diperlukan bagi pelanggan individu dan semua permohonan moratorium akan diberi kelulusan automatik sebaik sahaja diterima.
Tawaran kepada semua pelanggan daripada segmen B40, M40 atau T20 serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat pandemik itu selari dengan pengumuman Perdana Menteri, baru-baru ini.
Justeru, Bank Islam menyeru pelanggan yang memerlukan bantuan untuk menghubungi pihak bank dan memaklumkan pilihan bantuan bayaran yang diperlukan.
Bank Islam turut meyakinkan pelanggan bahawa rekod CCRIS mereka tidak akan terjejas sekiranya mereka memilih untuk mengambil bantuan bayaran balik yang disediakan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, bank sentiasa komited memastikan pelanggan kekal berdaya tahan dalam tempoh yang tidak menentu ini.
Ujarnya, bank telah memperkenalkan pelbagai bentuk pakej bantuan bayaran balik pembiayaan sejak pandemik bermula.
“Di bawah program bantuan bayaran balik yang bermula pada Ogos 2020, bank telah membantu hampir 30 ribu pelanggan individu dengan jumlah tertunggak sebanyak RM3.74 billion sehingga 18 Jun lalu, serta lebih 200 PMKS, melibatkan lebih RM670 juta.
“Industri perbankan Islam juga turut giat meningkatkan usaha menyokong segmen terkesan bagi menjamin kemampanan mereka sejak PKP mula diperkenalkan tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, pihaknya sedar akan kesan sekatan pergerakan yang berterusan ke atas perniagaan pelanggan terutamanya PMKS.
“Keutamaan kami kekal untuk mengurangkan kekangan kewangan pelanggan, terutama sektor yang tidak dapat beroperasi sepanjang PKP.
“Langkah signifikan diambil Bank Negara Malaysia melancarkan Bantuan Bayaran Balik Bersasar (TRA) bagi membantu pelanggan dalam segmen terjejas adalah penting bagi meminimumkan kesan berikutan arahan sekatan pergerakan dan menjamin bantuan sampai kepada mereka,” ujarnya.
Selain TRA, Bank Islam turut menawarkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) untuk pelanggan yang terlibat dalam sektor perkhidmatan; dan Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) bagi pelanggan dalam sektor pelancongan.
Di samping itu, Bank turut proaktif dalam membantu pengusaha mikro, terutama daripada kategori Asnaf dan B40. Pelancaran program iTEKAD dan Pembiayaan Mikro BangKIT bagi segmen pelanggan ini membuktikan sokongan Bank Islam kepada penyelesaian kewangan holistik.
Pelanggan boleh mendapatkan maklumat berkenaan iTEKAD dan Pembiayaan Mikro BangKIT di https://www.bankislam.com/business=banking/smebanking/itekad/ dan https://www.bankislam.com/corporate-info/social-finance-bank-islam/pembiayaan-mikro-bangkit/. – UTUSAN










