
“Tadbir urus korporat yang kukuh dan pengurusan institusi yang berkesan sangat penting bagi memastikan keberkesanan institusi perbankan untuk ia sentiasa berfungsi dengan baik. Khususnya, pemegang saham utama diharapkan dapat memainkan peranan aktif untuk memastikan hanya individu yang berkebolehan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan institusi perbankan,” petikan ucapan Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dalam ucapan beliau semasa majlis meraikan pengambilalihan 40 peratus saham Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) oleh Dubai Financial LLC pada 2006.
Langkah penjualan tersebut adalah antara usaha penstrukturan semula Bank Islam bagi meningkatkan modalnya dalam menghadapi suasana perniagaan yang mencabar ketika itu.
Kini, Dubai Financial LLC bukan lagi pemegang saham Bank Islam. Institusi perbankan Islam pertama Malaysia, yang baru sahaja menyambut tahun ke-38 penubuhannya pada Julai 2021, kini dimiliki sepenuhnya oleh BIMB Holdings Berhad (BIMB Holdings), sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Pemegang saham utama BIMB Holdings termasuklah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang secara keseluruhannya memegang lebih dari 80 peratus saham syarikat tersebut.
Bagi terus meningkatkan daya saing Bank Islam, satu lagi penstrukturan semula sedang dilaksanakan. Apabila proses penstrukturan ini selesai, ianya akan menyaksikan Bank Islam mengambil alih status penyenaraian BIMB Holdings di Bursa Malaysia.
Pemegang-pemegang saham BIMB Holdings pula akan menjadi pemegang saham langsung Bank Islam. Sebagai institusi pemegang lesen perbankan dan syarikat tersenarai, Bank Islam akan dikawal selia oleh tiga institusi penyelia iaitu, Bank Negara Malaysia, Suruhajaya Sekuriti Malaysia dan juga Bursa Malaysia.
Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanannya pula harus berhadapan dengan pemegang-pemegang saham seperti Tabung Haji, KWSP, PNB dan KWAP yang sangat mengutamakan tahap tadbir urus korporat yang tinggi.
Bank Islam yang dibangunkan dengan keupayaan anak watan, mempunyai asset berjumlah RM75 billion serta mempunyai lebih daripada 4,800 orang kakitangan, terbukti bukan sahaja menjadi sebuah institusi kewangan yang diuruskan dengan baik dan berjaya, malah telah menjadi satu institusi teras negara yang berwibawa dan berdaya saing.
Ini adalah satu pencapaian yang harus dibanggakan terutamanya bagi sebuah institusi yang berlandaskan Syariah. Adalah diharapkan agar bank Islam pertama di Malaysia ini akan terus menggalas aspirasi kewangan Islam dengan tadbir urus yang lebih mantap, ibarat menggenggam bara api, biar sampai jadi arang.
PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM – UTUSAN










