Bakul Prihatin Negara: AEON sumbang RM4 juta - Utusan Malaysia

Bakul Prihatin Negara: AEON sumbang RM4 juta

SHAFIE Shamsuddin menyerahkan replika cek sumbangan AEON Group Malaysia kepada Muhyiddin Yassin di Putrajaya, kelmarin. Hadir sama, Rina Harun dan Ketua Pegawai Sumber Manusia-Sumber Manusia dan Komunikasi Korporat AEON Co. (M) Bhd., Dr. Kasuma Satri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON Group Malaysia menyumbang sebanyak RM4 juta kepada kerajaan sebagai sokongan terhadap usaha kerajaan dalam meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurut AEON, sumbangan sebahagian daripada peruntukan inisiatif serantu AEON Co. Ltd. (Japan) berjumlah 350 juta yen (RM13 juta) bagi membantu melindungi keselamatan dan kesejahteraan penduduk di negara-negara ASEAN dalam menghadapi pandemik.

Katanya, selain Malaysia, sumbangan turut disalurkan untuk program vaksinasi Covid-19 di Vietnam, Indonesia, Thailand dan Kemboja, selain memberikan sumbangan ke atas program-program bantuan berkaitan.

Sumbangan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Co. (M). Berhad, Shafie Shamsuddin bagi pihak AEON Malaysia di Putrajaya kelmarin.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mhd. Harun.

“Bantuan disalurkan kepada kerajaan Malaysia melalui Yayasan Kebajikan Negara, sebuah yayasan kebajikan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dana tersebut akan dimanfaatkan untuk program Bakul Prihatin Negara,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Shafie berkata, dengan semangat untuk berjaya bersama, AEON akan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan program bantuan dan vaksinasi COvid-19 berjaya dijalankan demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur atas pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh kerajaan dan berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, para peruncit serta AEON Warriors atas dedikasi mereka berkhidmat untuk negara pada waktu yang getir ini.

“AEON menawarkan ke semua 42 pusat beli-belahnya di seluruh negara sebagai lokasi bank makanan dan pusat vaksinasi Covid-19.

“Menerusi usaha yang dijalankan bagi mempercepatkan program vaksinasi, kami yakin penularan COVID-19 akan dapat dikawal dan seterusnya kita semua akan dapat melalui kehidupan seperti biasa serta perniagaan akan dapat beroperasi.

“Saya percaya kita akan dapat mengembalikan semula keyakinan dan bergerak ke hadapan sebagai satu masyarakat sambil membantu mereka yang terkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN