PETALING JAYA: AirAsia telah melanjutkan secara automatik tempoh sah Akaun Kredit kepada tiga tahun dari tarikh kredit untuk semua tetamu yang mempunyai akaun kredit sah dikreditkan sebelum 30 Jun 2021.
Menurut syarikat penerbangan itu, tempoh lanjutan itu hanya sah untuk tempahan dalam talian yang dibuat melalui airasia.com atau AirAsia Super App.
Jelasnya, bagi tempahan berkumpulan atau yang dibuat melalui ejen pelancongan, pelanggan boleh merujuk kepada ejen tempahan masing-masing untuk maklumat selanjutnya.
Ketua Pegawai Bahagian Kebahagian Pelanggan AirAsia Group, Adam Geneave berkata, syarikat sentiasa mengutamakan keperluan para tetamu dan memahami rancangan perjalanan mereka mungkin telah berubah mengikut keadaan semasa.
Kata beliau, syarikat berbesar hati untuk melanjutkan tempoh sah Akaun Kredit hingga tiga tahun di samping menawarkan fleksibiliti kepada para tetamu untuk membuat tempahan masa hadapan pada bila-bila masa, untuk mana-mana destinasi dan penerbangan pilihan mereka yang dikendalikan oleh AirAsia termasuklah pada waktu puncak.
“Akaun Kredit ini juga boleh digunakan untuk membayar elaun bagasi, pemilihan tempat duduk, tempahan hidangan dalam penerbangan, insurans, cukai dan fi kerajaan serta perkhidmatan pilihan lain.
“Selain itu, Akaun Kredit ini juga tidak terhad kepada tetamu yang membuat tempahan asal dan boleh digunakan untuk membayar penerbangan tetamu lain.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu kami yang telah memilih Akaun Kredit ini yang menawarkan lebih fleksibiliti untuk perjalanan masa depan mereka dan kami tidak sabar untuk mengalu-alukan para tetamu kami apabila sekatan perjalanan dibuka,” katanya dalam kenyataan.
AirAsia turut menasihatkan para tetamunya yang bakal membuat perjalanan penting untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan, memeriksa semua keperluan perjalanan dan mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi pada setiap masa.
“AirAsia berbangga kerana telah dinilai pada tahap tertinggi oleh laman web Airlineratings.com untuk prosedur Covid-19 yang dinyatakan di laman web, pematuhan pemakaian pelitup muka, pemakaian peralatan perlindungan diri oleh kru kabin, perkhidmatan hidangan dalam penerbangan yang diubah suai, pembersihan pesawat berkala dan lain-lain.
“AirAsia akan terus memantau keadaan semasa dan berhak untuk mengumumkan polisi selanjutnya mengikut perkembangan terkini,” katanya. – UTUSAN










