AirAsia kembang perkhidmatan e-dagang ke Sabah - Utusan Malaysia

AirAsia kembang perkhidmatan e-dagang ke Sabah

AKAUN Kredit itu juga tidak terhad kepada tetamu yang membuat tempahan asal dan boleh digunakan untuk membayar penerbangan tetamu lain. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Sabah, terutamanya di Kota Kinabalu adalah antara pelanggan pertama di Malaysia Timur yang dapat menikmati tawaran perkhidmatan penghantaran makanan oleh cabang AirAsia Group, menerusi aplikasi AirAsia super app yang dilancarkan hari ini.

Penghantaran oleh AirAsia food dan AirAsia fresh ke negeri berkenaan akan membantu menjana ekonomi tempatan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, membantu para peniaga tempatan meraih lebih pendapatan dengan kadar komisen terendah di pasaran, dan menawarkan lebih nilai kepada para pelanggan.

Majlis pelancaran perkhidmatan itu diadakan secara dalam talian dan dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Menteri Kewangan II  Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes.

Tony berkata, Sabah merupakan destinasi popular AirAsia dan pengembangan perkhidmatan e-dagang gaya hidup itu memperkukuh komitmen syarikat di negeri berkenaan.

“Kami bukan sahaja menyediakan harga berpatutan untuk makanan segar dan perkhidmatan penghantaran, malah pelancaran hari ini juga membuka banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah dan memberi manfaat kepada petani, pembekal dan peniaga.

“Kami berharap lebih ramai pengusaha tempatan, pemilik restoran dan pembekal barangan runcit akan menyertai AirAsia super app dan memanfaatkan data serta akses pasaran luas kami untuk terus berkembang pesat sebagai super app pilihan ASEAN,” katanya.

Selain itu, ujar Tony, pelancaran AirAsia fresh di Kota Kinabalu sejajar dengan projek pertanian dan logistik syarikat di Sabah melalui AirAsia farm, platform perniagaan-ke-perniagaan yang menghubungkan petani terus ke peniaga.

Menurut Tony, platform ini juga menyediakan ekosistem ideal dari segi rantaian bekalan dan pengagihan barangan segar di Sabah dan untuk eksport.

Beliau turut mengumumkan rancangan syarikat untuk mempunyai sebuah gudang seluas 6,000 kaki persegi di Kota Kinabalu, yang akan berfungsi sebagai Pusat Agri Digital 3-dalam-1 termasuk kemudahan rangkaian sejuk, ruang pejabat dan ruang latihan untuk petani dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Sementara itu, Ketua e-Dagang AirAsia supera app, Lim Ben- Jie berkata, pandemik telah mengubah tingkah laku pelanggan termasuk rakyat Sabah.

“Dengan peningkatan penggunaan internet sebanyak 91.4 peratus di situ (Kota Kinabalu), ini adalah masa yang paling sesuai untuk kami memperkenalkan AirAsia food dan AirAsia fresh di Kota Kinabalu sebagai platform e-dagang terbaik untuk membeli-belah dan perkhidmatan penghantaran.

“Kami juga tidak mengenakan sebarang caj penyenaraian kepada peniaga dan menawarkan kadar komisen terendah hanya 15 peratus untuk AirAsia food dan lima peratus AirAsia fresh. Kami mengalu-alukan rakan penghantar untuk menyertai kami sebagai pasukan penghantaran AirAsia di Kota Kinabalu,” jelas Ben-Jie. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN