PETALING JAYA: PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan Program Geran Komuniti bagi mewujudkan kejiranan yang bersepadu, berkembang maju serta kaya dengan nilai-nilai seni dan budaya dalam presint Merdeka 118.
Program Geran Komuniti Merdeka 118 bertujuan memperkasa komuniti setempat dan membangunkan perniagaan, institusi dan organisasi masyarakat yang berdaya tahan dengan menyasarkan lima lokasi utama iaitu Petaling Street, Jalan Hang Tuah, Kuadran Sukan 1, Kampung Attap dan Pudu.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, program tersebut diwujudkan untuk memupuk sinergi antara komuniti dan pembangunan bercampur Merdeka 118 yang merangkumi tempat kerja, tempat tinggal dan ruang awam.
“Presint Merdeka 118 berada di sebuah lokasi ikonik yang kaya dengan budaya dan sejarah yang penting. Seiring dengan visi kami untuk menjadi destinasi mercu tanda di Pusat Bandar Lama Kuala Lumpur, penting bagi kami untuk memastikan pembangunan presint Merdeka 118 diharmonikan dengan komuniti secara meluas.
“Sebagai tetangga baharu dalam sebuah kejiranan yang sedia ada, kami mengutamakan dan menghormati keinginan komuniti setempat, dan pada masa yang sama, menyumbang kepada pembangunannya secara positif. Kami berharap geran ini akan membuka potensi masyarakat dan kita dapat sama-sama mewujudkan presint yang berjaya dan harmoni,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed memaklumkan, Program Geran Komuniti Merdeka 118 merupakan satu bentuk rangsangan yang sangat diperlukan di Pusat Bandar Lama Kuala Lumpur, khusus untuk pelbagai komuniti dan kejiranan di sekitar presint Merdeka 118.
“Pusat Bandar Lama Kuala Lumpur, merupakan ibu kota bersejarah yang mempunyai banyak potensi yang belum diterokai. Banyak kawasannya telah dikosongkan oleh pentadbiran pusat manakala penduduknya pula telah berpindah keluar ke pinggir bandar dalam Greater Kuala Lumpur.
“Walaupun dilanda pandemik, kami menyaksikan suntikan nafas baharu di kawasan ini dengan usaha pemilik perniagaan kecil yang unik menarik minat orang ramai, sekali gus menunjukkan bahawa kawasan ini masih mempunyai kekuatan dan tarikannya yang tersendiri.
“Sebagai rakan kerjasama, kami sangat berbesar hati untuk menyatakan bahawa geran ini akan menjadi inisiatif penting ke arah transformasi Pusat Bandar Lama Kuala Lumpur sebagai sebuah kawasan kebudayaan dan kreativiti,” ujarnya.
Permohonan untuk Program Geran Merdeka 118 dibuka mulai 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021. Pemohon boleh menghantar borang permohonan untuk tiga jenis geran iaitu Sukan, Seni dan Komuniti Perniagaan. – UTUSAN










