Moratorium bersasar jalan terbaik - Utusan Malaysia

Moratorium bersasar jalan terbaik

BANYAK perniagaan terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dan memerlukan sokongan kewangan untuk terus ‘hidup.’ – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar adalah jalan terbaik untuk Malaysia  menghadapi kegawatan akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Bank Malaysia (ABM), Datuk Abdul Farid Alias berkata, ketika pelaksanaan moratorium secara automatik tahun lalu, ia membantu kumpulan pengguna yang terkesan akibat pandemik.

Namun, tegas beliau, pemberian moratorium secara automatik menyebabkan bantuan turut disalurkan kepada semua  pihak, termasuk yang kaya dan yang pendapatannya tidak terkesan.

“Untuk kumpulan ini, moratorium pukal untuk mereka bermakna ada pihak lain yang membayar kos pinjaman mereka –  kos yang semua orang harus bayar baik secara langsung atau tidak langsung kelak.

“Moratorium sepatutnya ditawarkan kepada mereka yang memerlukan, seperti yang dilakukan negara-negara lain,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Menurut Abdul Farid, kerajaan dan institusi perbankan sepatutnya menumpukan untuk membantu mereka yang terkesan secara signifikan akibat pandemik dengan meneruskan bantuan moratorium atau pengurangan bayaran pinjaman untuk tempoh tertentu, seperti yang sedang dilakukan sekarang.

Selain itu, kata beliau, golongan tersebut turut perlu membiayai perbelanjaan lain seperti bayaran sewa, utiliti dan  pengangkutan manakala untuk perniagaan, terdapat kos pentadbiran untuk operasi mereka.

“Semua ini turut perlu ditangguhkan supaya peminjam mempunyai ruang untuk bernafas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Media dan Komunikasi EMIR Research, Jamaro Mokhtar turut menolak pelaksanaan moratorium  automatik yang dilihat menggalakkan ‘perbelanjaan ekstra vaganza’ dalam kalangan mereka yang tidak terkesan.

Beliau berpendapat, pemberian moratorium automatik kepada golongan yang mampu mendorong mereka melepaskan diri daripada kewajipan membayar balik pinjaman, walaupun langkah tersebut sementara.

Kata beliau, perbelanjaan ekstravaganza yang dilakukan  golongan itu, misalnya pembelian kenderaan tambahan atau  sebagai wang pendahuluan untuk membuka perniagaan mungkin menjadi sebab in‘ asi Malaysia meningkat, seperti yang berlaku pada April lalu.

Pada bulan itu, indeks harga pengguna (IHP) melonjak 4.7 peratus, lonjakan tertinggi sejak 2008.

“Dengan in‘ asi semakin meningkat, ia akan menjadi lebih sukar untuk kerajaan mengeluarkan lebih banyak rangsangan
pada masa hadapan ketika negara memerlukannya, tanpa terlalu ‘memanaskan’ ekonomi.

“Apabila anda mengalami kemerosotan ekonomi yang wujud bersamaan dengan inflasi yang tinggi, itu adalah fenomena
yang disebut stagflasi yang kali terakhir wujud di dunia pada akhir 1980-an,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN