Etika fokus tingkatkan usaha kelestarian - Utusan Malaysia

Etika fokus tingkatkan usaha kelestarian

KHALID ALVI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar minuman terkemuka, Etika Sdn. Bhd., berhasrat meningkatkan komitmen kelestarian mereka dalam usaha untuk mempromosikan amalan kesedaran alam sekitar dalam industri barang pengguna bergerak pantas (FMCG).

Menurut syarikat itu, usaha kemampanannya yang baharu akan fokus kepada pengurangan pelepasan karbon, pengeluaran bahan yang lestari, inovasi dalam pembungkusan serta pengurangan sisa.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Etika Malaysia, Singapura dan Brunei, Khalid Alvi berkata, pada masa yang sama pihaknya juga akan fokus membina strategi yang akan memberikan nilai kemampanan jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan yang terlibat termasuk pengguna, pekerja dan masyarakat setempat.

“Etika sentiasa memberi kesan positif dalam masyarakat Malaysia, sama ada melalui minuman segar atau kempen kreatif kami.

“Dengan inisiatif kemampuan itu, kami harap dapat memberi kesan yang besar dalam menangani masalah alam sekitar dan sosial yang sedang dihadapi sekarang,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, kebimbangan yang meningkat mengenai perlindungan alam sekitar telah mendorong pihaknya untuk melaksanakan langkah-langkah dan solusi bagi mengharungi cabaran seperti pencemaran plastik, peningkatan pelepasan gas rumah hijau dan pengurusan sisa.

Mengulas lanjut, Khalid memberitahu Etika telah memulakan misinya ke arah kelestarian dengan mendapatkan bahan mentah seperti gula dan minyak sawit daripada pengeluar tempatan seperti Central Sugar Refinery Sdn. Bhd. (CSR).

Katanya, Etika telah merancang untuk membeli 28 peratus gula yang digunakan dalam produk mereka dari pembekal yang mampan menjelang tahun ini.

“Kami juga terus berusaha untuk menginovasi pembungkusan kami dengan memperkenalkan bahan yang mesra alam dan boleh dikitar semula.  

“Kilang minuman halal sudah komited untuk menggunakan kertas yang diperakui FSC untuk semua keperluan operasi dan pembungkusan menjelang 2023 bagi memastikan produk kertas yang digunakan adalah mesra alam sekitar,” jelas Khalid.

Ujarnya, pada masa yang sama Etika turut berusaha mengurangkan sisa plastik dengan menggunakan lebih banyak bahan kitar semula untuk pembungkusannya serta menyokong inisiatif di bawah Malaysia Plastic Pact. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN