MUKADIMAH
Anak syarikat DRB-HICOM Berhad, Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) baru-baru ini telah menawarkan salah satu bangunannya kepada kerajaan untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Ikuti temubual wartawan SHAFIQAH SHUKOR bersama Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, SHAMSUDDIN MOHAMED YUSOF yang berkongsi tentang peranannya dalam menyokong dan membantu kerajaan mencapai sasaran vaksinasi negara.
UTUSAN: Boleh jelaskan latar belakang CTRM?
Shamsuddin: CTRM yang merupakan anak syarikat DRB-HICOM Berhad, telah diperbadankan pada 20 November 1990 oleh Kementerian Kewangan sebagai pemegang saham utamanya. CTRM diamanahkan dengan peranan strategik untuk mengembangkan industri aeroangkasa dan komposit berasaskan teknologi tinggi.
Syarikat kami yang terletak di Batu Berendam, Melaka itu terlibat dalam pembuatan produk komposit untuk pesawat komersial dan tentera. Komposit adalah bahan alternatif untuk logam yang mana ia 30 peratus lebih ringan daripada logam.
Antara bahagian yang teknologi komposit Malaysia keluarkan ialah bahagian panel sayap dan penutup enjin pesawat. Kami menggunakan bahan komposit pada bahagian itu untuk menjadikan pesawat lebih ringan.
Apa yang mendorong CTRM menawarkan bangunannya untuk dijadikan PPV?
Saya berterima kasih kepada barisan pengurusan kerana mereka yang memberi dan membentangkan idea itu semasa mesyuarat syarikat.
Pada 24 Februari lalu kerajaan telah melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kebetulan kami mempunyai bangunan baharu di Building 6 (B6) dengan keluasan 2,178 meter persegi.
Sebenarnya, jika tiada pandemik dan industri berjalan dengan baik, kemungkinan ruang itu akan digunakan untuk menampung peningkatan pesanan terutamanya untuk pesawat Airbus A320 dan A350. Malangnya apabila industri ini terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19, semua perancangan terpaksa ditunda mungkin sehingga 2023 atau 2024.
Sementara menunggu perniagaan baharu, kami membuat keputusan untuk menawarkan ruang itu bagi membantu kerajaan mencapai sasaran pemberian dos vaksin sebanyak 150,000 pada Jun dan 200,000 pada Julai. Jadi dengan galakan kumpulan DRB Hicom, kami menawarkan diri untuk menjadikan fasiliti itu sebagai PPV.
Apakah harapan CTRM setelah bekerjasama dengan kerajaan?
Selaras dengan aspirasi MITI, kami menggalakkan pemain-pemain industri yang mampu untuk mengambil peluang ini dan membantu kerajaan bagi meningkatkan kapasiti program vaksinasi itu. Tiada cara lain untuk memastikan kegiatan ekonomi boleh diteruskan selain mempercepat proses vaksinasi negara.
Kita sudah melalui beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memberi kesan kepada ekonomi dan rakyat. Sekiranya kita tidak menangani perkara itu dengan program vaksinasi, keadaan akan menjadi bertambah sukar.
Program vaksinasi itu terbukti berkesan apabila Boston, Amerika Syarikat (AS) telah mula menjalani kehidupan normal selepas hampir 70 peratus komunitinya melalui proses vaksinasi untuk dos pertama dan 50 peratus untuk dos kedua.
Selain itu, program vaksinasi di China juga telah mencecah hampir 40 peratus dan kegiatan ekonominya serta sektor penerbangan domestiknya hampir mencecah 85 peratus.
Itu semua menunjukkan betapa pentingnya vaksin untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Jadi, kami berharap dengan penglibatan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kapasiti, tetapi dapat meningkatkan kesedaran kepada komuniti.
Kami percaya, apabila lebih ramai orang sudah divaksin, itu akan memberi motivasi kepada orang lain untuk turut mengambil vaksin pada tempoh yang akan datang.
Kemungkinan juga pihak kumpulan DRB-Hicom akan meninjau jika ada lokasi-lokasi lain yang sesuai untuk dijadikan PPV bagi mempercepat proses tersebut.
Apakah manfaat yang diperoleh oleh CTRM melalui kerjasama ini?
Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana membenarkan CTRM beroperasi sepanjang tempoh PKP kerana kami terlibat dengan pembekalan barang untuk dieksport kepada pemain-pemain industri antarabangsa.
Memandangkan kami adalah pengeluar tunggal bahagian panel kepak dan penutup enjin untuk pesawat, kami tidak mampu untuk menutup operasi. Sekiranya ditutup, peluang perniagaan itu pasti akan diberikan kepada negara-negara lain. Kami tidak mahu perkara itu berlaku.
Memandangkan CTRM merupakan antara sektor industri aeroangkasa yang dibenarkan beroperasi, kami berharap vaksinasi turut dapat disalurkan kepada pekerja-pekerja kami dengan kadar yang segera.
Adakah CTRM sendiri mempunyai kaedah tertentu dalam mengawal kadar keberjangkitan Covid-19 di tempat kerja?
Industri aeroangkasa adalah industri yang selamat selain mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat. Operasi kami dijalankan dalam keluasan berpatutan yang mementingkan penjagaan jarak. Selain itu, kerja kami kebanyakannya dilakukan sambil berdiri dan bukan dalam kelompok yang padat.
Antara pendekatan yang dilaksanakan oleh CTRM adalah memastikan SOP seperti memakai pelitup muka, jaga penjarakan dan mencuci tangan diamalkan oleh setiap pekerja.
Seterusnya, kami memperincikan perkara itu dengan memastikan semua bilik mesyuarat dan tandas CTRM mempunyai kod QR yang menetapkan had orang yang boleh berada di ruangan berdasarkan keluasan kawasan.
Kami juga mengelakkan intervensi-intervensi menggunakan tangan dengan menyediakan dispenser elektronik dan paip air yang menggunakan sensor. Semasa mendirikan solat pula, pekerja-pekerja wajib menjaga jarak dan memakai pelitup muka.
Kami turut memberi program kesedaran yang berterusan dengan memaparkan berita-berita dan maklumat berkaitan wabak itu di televisyen-televisyen kami. Sekiranya terdapat pekerja yang mengalami gejala wabak itu seperti demam, sakit tekak, selsema dan sebagainya, pekerja harus melaporkan perkara tersebut sebelum datang ke tempat kerja. Selepas itu kami akan menggunakan saluran Telegram yang mampu menghubungkan 2,200 pekerja kami untuk memberitahu maklumat itu.
Khemah isolasi dan doktor juga disediakan untuk pekerja yang bergejala bagi menentukan pekerja harus bekerja atau perlu menjalani rawatan.
Walaupun syarikat memerlukan perniagaan, tetapi kebajikan pekerja tetap menjadi keutamaan kami.
Bagaimanakan perkembangan syarikat setakat ini?
Sejak dunia dilanda pandemik Covid-19 pada tahun lalu, lebih 16,000 pesawat tidak dibenarkan beroperasi kecuali pesawat kargo. Boleh dikatakan industri ini hampir lumpuh pada tahun lalu. Namun, pelanggan kami mempunyai wawasan dan kekuatan untuk mentadbir urus situasi ini.
Dengan usaha pesawat Airbus yang berterusan serta perbincangan dengan syarikat penerbangan yang lain, akhirnya suasana dapat distabilkan semula walaupun unjuran produksi dikurangkan hampir 40 peratus. Sekurang-kurangnya pemain industri sektor ini masih boleh bernafas kerana dibenarkan menjalankan produksi sehingga hari ini.
Oleh kerana jualan semakin berkurang, kami terpaksa mengambil pendekatan penjimatan kos yang drastik dengan mengurangkan waktu bekerja daripada lima hari seminggu kepada empat hari tanpa kerja lebih masa.
Sebagai anak syarikat DRB-HICOM, kami juga mempunyai subsidiari-subsidiari lain yang sentiasa membantu, jadi kami tidak perlu membuang pekerja.
Apakah perancangan CTRM pada tahun ini?
Kini kami sedang sibuk melaksanakan pelbagai aktiviti bidaan. Jika kita lihat, pemain industri di Asia Tenggara terkenal dengan kos yang kompetitif.
Jualan yang berkurang secara mendadak telah menyebabkan industri di AS dan Eropah terkesan teruk. Justeru, mereka perlu melihat semula polisi mereka sama ada untuk membuat atau membeli. Bagi mereka, membuat keluaran sendiri adalah lebih mahal kerana tidak mempunyai sokongan yang cukup dari segi kewangan. Oleh itu, mereka menawarkan industri di Asia Tenggara seperti kami untuk membuat pengeluaran bagi mereka kerana kami mempunyai kapasiti yang banyak.
Kini, kami mempunyai ruang kosong seluas 2,178 meter persegi di B6 yang boleh menghasilkan 200 juta kapasiti jualan. Kerana itulah CTRM berusaha untuk membabitkan diri secara aktif dalam kerja-kerja bidaan dan kami positif akan mendapat peluang yang baik ketika pandemik ini. – UTUSAN ONLINE