PETALING JAYA: Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 perlu ditambah baik supaya rakyat tidak terus terbeban terutamanya jika diambil kira pelaksanaan tersebut berkemungkinan besar akan berlangsung lebih lama bagi melandaikan keluk jangkitan Covid-19 di negara ini.
Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan perlu memikirkan lebih banyak penambahbaikan supaya golongan yang terjejas tidak terus terbeban dalam tempoh tersebut.
Ujarnya, tidak dapat dinafikan yang paling menerima kesan daripada pelaksanaan PKP kali ini adalah golongan peniaga mikro dan kecil serta yang bekerja sendiri.
“Kita berterima kasih atas keprihatinan kerajaan untuk membantu golongan B40 melalui Bantuan Sara Hidup (BSH), Geran Khas Prihatin (GKP), bantuan mikro kredit dan moratorium yang diumumkan semalam (kelmarin), namun hakikatnya ini hanya boleh diterima sekiranya sekatan pergerakan berakhir dalam tempoh 21 hari.
“Kerajaan perlu memikirkan inisiatif lebih baik kerana kebarangkalian kita kekal dalam PKP 3.0 adalah lebih lama berdasarkan kadar vaksinasi yang hanya akan mencapai 200,000 sehari pada Oktober nanti,” katanya ketika diminta mengulas mengenai bantuan PKP 3.0, semalam.
Menurut Ahmad Yazid, institusi perbankan sepatutnya dapat memberikan moratorium bayaran pinjaman kepada 75 peratus rakyat secara automatik tanpa sebarang syarat yang merumitkan proses.
Jelasnya, perkara ini tidak mustahil memandangkan pihak bank akan tetap menjana keuntungan apabila pembayaran balik disambung semula selepas ekonomi lebih stabil.
“Kerajaan perlu membuat keputusan untuk memberikan moratorium kepada lebih ramai individu dalam tempoh yang lebih lama supaya kita semua mampu bertahan dalam suasana ekonomi yang diperlahankan akibat PKP.
“Kami berharap kerajaan mampu mempertimbangkan kaedah yang lebih mudah dan berkesan sekurang-kurangnya untuk tiga ke enam bulan.
“Bagi mengurangkan impak daripada pelaksanaan moratorium ini, kerajaan boleh mengecualikan golongan tidak terjejas seperti pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi kewangan, syarikat-syarikat besar dan pegawai tertinggi dalam kerajaan,” ujarnya.
Terdahulu, MTEM mencadangkan sembilan bantuan untuk rakyat dalam tempoh PKP 3.0 antaranya BSH sebanyak RM1,200 sebulan selama enam bulan bagi keluarga berpendapatan di bawah RM5,000 serta subsidi upah untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), juga bagi tempoh enam bulan.
Dalam kenyataannya bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mereka juga mengusulkan moratorium pinjaman secara automatik untuk semua jenis pinjaman yang melibatkan jumlah keseluruhan pinjaman berbaki RM1 juta atau kurang bagi entiti perniagaan termasuk bangunan dan premis perniagaan, serta baki RM500,000 bagi pinjaman peribadi dan kediaman. – UTUSAN ONLINE