Untung bersih MMC meningkat 115 peratus - Utusan Malaysia

Untung bersih MMC meningkat 115 peratus

PRESTASI eksport Malaysia merosot pada April 2023, didorong oleh eksport domestik yang lebih rendah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MMC Corporation Berhad (MMC) mencatatkan keuntungan bersih 115 peratus lebih tinggi pada suku pertama berakhir 31 Mac lalu, sebanyak RM124.70 juta berbanding RM57.88 juta pada suku sama tahun lalu.

Syarikat itu turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) yang lebih tinggi sebanyak RM220.99 juta, peningkatan 92 peratus daripada RM114.81 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Menurut syarikat itu, peningkatan tersebut sebahagian besarnya disebabkan jumlah kendalian yang lebih tinggi di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Northport (Malaysia) Berhad; hasil daripada tanah subpajakan di PTP dan kos kewangan yang lebih rendah.

“Pertumbuhan jumlah kendalian yang kukuh di PTP dan Northport adalah pemacu utama untuk catatan hasil sebanyak RM1.14 bilion oleh syarikat berbanding RM1.09 bilion yang dicatatkan dalam suku sama tahun lalu.

“Walau bagaimanapun, pertumbuhan hasil syarikat sebahagiannya diimbangi kemajuan kerja yang lebih perlahan dalam projek Transit Aliran Massa (MRT) Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya; penumpang kargo yang lebih rendah di Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. dan jumlah kendalian yang lebih rendah di Penang Port Sdn. Bhd,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Menurut MMC, bahagian pelabuhan dan logistiknya mencatatkan hasil sebanyak RM904 juta, peningkatan sebanyak 12.9 peratus berbanding RM801 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.

Ia berikutan pertumbuhan jumlah kendalian yang kukuh di PTP dan Northport, walaupun  jumlah kendalian di Pelabuhan Pulau Pinang berkurang.

Dalam masa sama, bahagian tersebut mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai yang lebih tinggi, daripada RM123 juta tahun lalu kepada RM237 juta tahun ini, peningkatan sebanyak RM114 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Khalib Mohamad Nuh berkata, pihaknya akan terus mengutamakan kesihatan dan keselamatan semua pemegang taruh syarikat tersebut.

“Kami akan terus memperkukuh langkah pencegahan dan memastikan gangguan yang minimum terhadap operasi perniagaan kami,” katanya. – UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN