PETALING JAYA: UEM Edgenta kekal berdaya tahan apabila mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM8.1
juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021, didorong oleh prestasi kukuh segmen pengurusan aset syarikat.
Keuntungan itu bagaimanapun lebih rendah berbanding RM12.1 juta yang direkodkan tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh dilaporkan, syarikat merekodkan pendapatan sebanyak RM483.6 juta berbanding RM501.9 juta suku sama tahun sebelumnya.
Menurut UEM Edgenta, syarikat mengekalkan lembaran imbangan yang kukuh dengan nisbah geran kasar sebanyak 0.32 kali ganda, kedudukan tunai bersih positif sebanyak RM126.5 juta dan kedudukan baki tunai dan bank sebanyak RM577.9 juta.
Mengulas prestasi itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, syarikat terus mengekalkan prestasi memberangsangkan melalui orderbook yang kukuh dalam perniagaan komersial penjagaan kesihatan yang secara progresif menyumbang kepada penambahan orderbook melebihi RM12 bilion.
“Walaupun syarikat memenangi kontrak baharu dalam segmen Infrastructure Services dan Asset Management,
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa telah memberi kesan terhadap penangguhan kerja-kerja yang
dirancang berikutan peningkatan kes harian Covid-19 yang mendadak.
“Namun, syarikat dapat menyesuaikan diri dan kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan memandangkan lembaran imbangan dan kedudukan aliran tunai kami yang kukuh,” katanya dalam kenyataan.
Syahrunizam berkata, berdasarkan portfolio syarikat yang pelbagai, UEM Edgenta terus mengembangkan orderbooknya dan telah memperoleh kontrak baharu bernilai lebih RM400 juta pada suku pertama tahun ini.
Katanya, Bahagian Healthcare Support syarikat, terutamanya portfolio Komersial, memperoleh 59 peratus daripada jumlah kontrak baharu berjumlah RM240 juta, daripada pasaran antarabangsa di Singapura dan Taiwan.
“Ini mewakili sebahagian besar perolehan kontrak baharu syarikat, sejajar dengan strategi baharu Edgenta of the Future 2025. Orderbook semasa syarikat kekal mantap sebanyak RM12 bilion, mengukuhkan kedudukan syarikat untuk jangka panjang sehingga 2038,” katanya.
UEM Edgenta tambah Syahrunizam, telah memainkan peranan penting dalam menyokong usaha pemulihan negara untuk mengekang pandemik Covid-19 dan kekal komited dalam usahanya sehingga ke hari ini.
Syarikat katanya, yakin bahawa keadaan kembali normal selepas pandemik dan akan menyaksikan permintaan
yang lebih tinggi terhadap perkhidmatan dan penyelesaian penjagaan kesihatan.
“Selain itu, UEM Edgenta turut menjangkakan akan memperoleh keuntungan daripada pemulihan pasca pandemik dalam sektor pengangkutan melalui penyambungan semula kerja-kerja tidak kritikal dan turapan serta merealisasikan kerja-kerja yang tertangguh dari tahun kewangan 2020 untuk perkhidmatan perundingan infrastruktur dan asetnya,” kata beliau. – UTUSAN










