Bicara Niaga
Dengan kesibukan dan tanggungjawab harian yang perlu dilaksanakan, pasti agak sukar untuk anak-anak menguruskan masa dan memberi sepenuh perhatian kepada ibu bapa dalam kalangan warga emas yang berada di rumah.
Seperti kanak-kanak, warga emas sebenarnya memerlukan penjagaan dan bantuan untuk melakukan rutin mereka. Mengambil kira perkembangan itu, Teman Malaysia menawarkan perkhidmatan khas untuk warga emas yang memerlukan peneman dalam menjalani aktiviti harian mereka.
Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, SHAFIQAH SHUKOR bersama Ketua Pegawai Operasi dan Pengasas Teman Malaysia, NURUL EZZATI MOHAMED NASIR yang berkongsi maklumat tentang perkhidmatan ditawarkan oleh syarikat berkenaan membantu memudahkan urusan seharian keluarga.
UTUSAN: Apakah bentuk perniagaan yang dilaksanakan oleh Teman Malaysia?
NURUL EZZATI: Teman Malaysia adalah perusahaan sosial yang memberi perkhidmatan pengurusan dan peneman warga emas secara profesional, berkualiti serta selamat.
Bagi belia yang mempunyai minat untuk berkhidmat dengan warga emas, Teman Malaysia membuka peluang untuk menyertai kami sebagai temanion (Teman + Companion).
Berbeza dengan perkhidmatan pengurusan warga emas yang lain, Teman Malaysia juga menyediakan pelbagai perkhidmatan lain bagi membantu masyarakat sekeliling menjalani kehidupan harian dengan lebih mudah dan teratur.
Jadi, kami sedia membantu belia yang ingin mencuba atau yang sudah lama terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan sosial.
Teman Malaysia ditubuhkan di bawah program inkubasi Social Enterprise Education Lab (SEEd.Lab) di bawah naungan Petronas dan Tata Consultancy Services (TCS).
Apakah perkhidmatan yang ditawarkan oleh Teman Malaysia?
Teman Malaysia menawarkan tiga jenis perkhidmatan iaitu Teman Janji Temu Kesihatan di mana temanion akan menemani warga emas ke janji temu doktor dan rawatan susulan, rawatan dialisis, rawatan fisioterapi dan rawatan hospital yang lain.
Seterusnya, perkhidmatan menemani warga emas membuat aktiviti bersesuaian seperti teman membeli barang keperluan harian, teman membuat aktiviti merangsang IQ/EQ bagi mengurangkan potensi nyanyuk atau penyakit Alzheimer, antaranya melukis, mewarna, bermain catur, permainan memori dan lain-lain serta teman pergi ke taman rekreasi.
Perkhidmatan terakhir ialah teman ziarah di mana temanion akan menemani warga tua melawat dan menziarahi keluarga dan teman berbual-bual dan mengisi masa lapang.
Bagaimanakah waktu operasi dan di mana lokasi Teman Malaysia?
Pada mulanya, operasi kami hanya berada di kawasan Lembah Klang. Baru-baru ini, kami telah memperluaskan lagi rangkaian perkhidmatan kami di sekitar Johor Bahru, termasuk Pasir Gudang, Bandar Penawar dan Pengerang.
Kami menerima tempahan perkhidmatan tujuh hari seminggu (termasuk cuti am) bermula pukul 7 pagi hingga 9 malam.
Bilakah Teman Malaysia ditubuhkan dan mengapa memilih perniagaan ini?
Idea menubuhkan Teman Malaysia bermula pada April tahun lalu berdasarkan pengalaman sendiri dan keluhan rakan-rakan yang terpaksa mengambil cuti untuk membawa datuk, nenek, ibu atau bapa bagi janji temu hospital untuk mendapatkan rawatan atau janji temu susulan.
Setelah kami mula membuat kajian, kami mendapati tujuh peratus daripada jumlah populasi di Malaysia merupakan warga emas (berumur 50 tahun ke atas) dan peratusan ini dijangka akan meningkat.
Tambahan lagi, Kuala Lumpur dan Selangor merekodkan jumlah warga emas tertinggi di Semenanjung Malaysia.
Rutin harian dan cara hidup di bandar besar ada cabarannya tersendiri. Kami sedar situasi ini lebih meluas daripada apa yang kami sangka pada mulanya dan kami terpanggil untuk membantu bagi meringankan beban dan komitmen dengan menemani warga emas ke hospital dan sebagainya. Teman Malaysia telah didaftarkan secara rasmi pada bulan September tahun 2020.
Dengan adanya jurang ini, temanion kami yang profesional dan terlatih sedia membantu dalam menguruskan rutin harian dengan selamat dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti.
Selain itu, Teman Malaysia juga mahu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan proses penuaan yang sihat dengan memberikan perkhidmatan mesra, selamat dan berkualiti kepada pelanggan kami.
Adakah temanion boleh meneman warga emas ke program keagamaan atau kebudayaan?
Boleh, temanion kami terdiri daripada pelbagai latar belakang dan berbilang kaum.
Pelanggan cuma perlu memilih perkhidmatan Teman Aktiviti Bersesuaian, dan temanion kami bersedia untuk meneman warga emas bagi acara-acara keagamaan dan kebudayaan.
Bagaimana kerjasama SEEd.Lab dan Teman Malaysia boleh membantu orang ramai dan belia sehingga hari ini?
SEEd.Lab merupakan program kelestarian yang dibangunkan oleh Petronas dan TCS, bagi menangani isu-isu sosial terutamanya masalah pengangguran di kalangan belia di Malaysia, dengan menawarkan peluang melahirkan perusahaan sosial.
Melalui SEEd.Lab, kami menjalani program inkubasi dan seterusnya memasuki pasaran komersial pada skala yang lebih besar selain memberi impak sosial yang positif kepada golongan belia yang terlibat.
Kerjasama strategik bersama syarikat dan badan-badan terpilih turut membuka lebih peluang bagi kami untuk mengembangkan idea, mengesahkan hipotesis dan model bisnes, selain menimba pengalaman secara khusus.
SEEd.Lab juga membantu dari aspek bimbingan, latihan, kemahiran asas serta kolaborasi perniagaan dan menyediakan peluang pekerjaan, sekaligus membantu mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.
Berapa ramai setakat ini yang mendapatkan servis tersebut? Bagaimana sambutannya?
Sehingga kini, Teman Malaysia telah memberi manfaat kepada lebih 50 individu mahupun keluarga sejak ia ditubuhkan.
Selain itu, perkhidmatan Teman Malaysia juga turut digunakan oleh empat buah rumah kebajikan warga emas di sekitar Lembah Klang, antaranya Jasper Lodge.
Menerusi kerjasama ini kami lebih dekat dengan pelanggan kami dalam memahami keperluan harian warga emas selain menyediakan pakej-pakej yang lebih menarik dan sesuai.
Dengan perkhidmatan profesional yang kami tawarkan, banyak rumah kebajikan lain turut datang dan bertanya bagi menggunakan perkhidmatan Teman Malaysia.
Sambutan yang diterima sehingga kini agak memberangsangkan walaupun sesetengah tempat masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun keadaan itu tidak menghalang kami untuk terus membantu dan menyediakan perkhidmatan yang baik kepada warga emas dan keluarga yang memerlukan.
Adakah temanion mampu mengawal atau menerima `karenah’ warga emas yang kadang kala agak rumit?
Selepas proses penilaian dari aspek kemahiran dan pengalaman, minat dan kemahuan membantu warga emas, semua temanion akan dilatih dan didedahkan dengan ilmu asas penjagaan warga emas.
Sebagai contoh, kursus latihan anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) yang memberi kemahiran bantuan asas hayat menjamin kualiti perkhidmatan yang terbaik dalam proses mengurus warga emas.
Alhamdulillah, tidak ada lagi situasi yang mana temanion kami yang bertindak secara tidak profesional. Kami mendapat maklum balas yang baik, malah berulang kali juga temanion memberi maklum balas mengenai pengalaman mereka.
Jika ada yang berminat dengan perkhidmatan Teman Malaysia, apakah syarat-syarat atau peraturan yang perlu dipatuhi?
Tiada syarat khusus untuk menempah perkhidmatan Teman Malaysia. Bagaimanapun, dengan situasi pandemik COVID-19 yang kini melanda negara, pelanggan haruslah sihat dan bebas daripada gejala COVID-19 serta mengisi borang deklarasi kesihatan yang disediakan. Itu penting bagi memastikan semua urusan berjalan dengan lancar dan selamat.
Terma, syarat dan maklumat lanjut untuk melanggan servis dinyatakan di dalam laman sesawang rasmi kami di www.temanmalaysia.com.
Berapa bayaran yang dikenakan bagi setiap perkhidmatan Teman Malaysia?
Teman Malaysia menyediakan perkhidmatan bermula dari RM27 hingga RM35 sejam. Selain itu, kami juga menyediakan beberapa perkhidmatan lain bagi mereka yang memerlukan servis Teman untuk jangka masa panjang, secara mingguan atau bulanan.
Boleh terangkan perbezaan sebelum dan selepas pandemik?
Rekod kami menunjukkan, setakat Februari 2021, Teman Malaysia berjaya meningkatkan hasil jualan servis sebanyak 117 peratus berbanding September 2020.
Kami bersyukur perkhidmatan ini dapat dilaksanakan dan membantu belia menjana pendapatan tambahan dengan menjadi temanion kami ketika ekonomi kurang stabil dalam masa pandemik ini.
Kami berterima kasih kepada SEEd.Lab, Petronas dan TCS yang memberi peluang untuk kami berkongsi rezeki di saat ekonomi tidak stabil dan membantu usahawan mengembangkan lagi perniagaan
Apakah rancangan Teman Malaysia dalam masa 5 tahun akan datang?
Kami ingin memgembankan lagi perniagaan ini ke seluruh Malaysia menjelang 2025 dan seterusnya ke rantau Asia.
Bayangkan kesan penggandaan yang boleh kita kecapi – warga emas terpelihara, belia yang berminat mempunyai sumber pendapatan yang tetap dan bermakna, dan lagi satu perusahaan sosial Malaysia yang berjaya iaitu Teman Malaysia. – UTUSAN










