Sekatan penuh ganggu momentum pertumbuhan ekonomi - Tokpa - Utusan Malaysia

Sekatan penuh ganggu momentum pertumbuhan ekonomi – Tokpa

KADAR pengangguran di Malaysia kini turun kepada 3.4 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara sukar mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) enam hingga 7.5 peratus seperti yang disasarkan jika kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) seperti yang didesak sesetengah pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan sekatan penuh pada 25 Mei sehingga 7 Jun seperti dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dahulu, momentum pertumbuhan negara yang dalam prestasi baik akan terjejas.

Kata beliau, sekatan penuh akan menyebabkan kadar pengangguran meningkat dengan mendadak, bilangan isi rumah miskin bertambah, prestasi syarikat kecil dan besar terjejas serta kedudukan fiskal berada dalam keadaan mencabar.

“Semasa libat urus saya dengan wakil-wakil industri; perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta persatuan-persatuan penjaja pada 22 dan 23 Mei lalu, sebahagian besar daripada mereka bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKP 3.0.

“Kerajaan perlu sentiasa mengimbangkan antara nyawa dan kehidupan. Keputusan untuk melaksanakan PKP 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat adalah tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pengumuman penunjuk ekonomi Malaysia: indeks pelopor, serentak dan susulan bersama Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin yang diadakan secara maya semalam.

Menurut Mustapa, situasi penularan pandemik Covid-19 di negara ini adalah dinamik dan tidak menentu sehingga tidak ramai yang menjangkakan kes jangkitan dalam negara naik mendadak baru-baru ini.

Sehubungan itu, kata beliau, pelaksanaan PKP 3.0 selama dua minggu diharap dapat melandaikan keluk jangkitan, seterusnya membantu negara mencapai pertumbuhan seperti yang telah diunjurkan.

“Keadaan ketika ini tidak menentu. Ia banyak bergantung kepada kadar vaksinasi dan kesediaan vaksin. Kerajaan sedang berusaha supaya ia (vaksin) dapat dibawa masuk dengan segera.

“Jika kita andaikan bahawa peratusan rakyat Malaysia yang menerima vaksin mengikut jadual atau dapat dipercepat, dan kita andaikan keadaan pandemik dapat dikawal dengan penurunan kes jangkitan ialah positif, sudah pasti ia akan memberi kesan yang baik kepada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya