PTP agih sumbangan raya - Utusan Malaysia

PTP agih sumbangan raya

MOHD. Solihan Badri, Rosnan Fathlal, Marco Neelsen dan Mohammad Faiz Mohd. Pandi bersama sebahagian penerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri PTP dan LPJ di Gelang Patah, Johor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), ahli Kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC) bersama Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) mengagihkan sumbangan Aidilfitri kepada golongan kurang bernasib baik di Gelang Patah, baru-baru ini.

Program tahunan di antara PTP dan LPJ itu dilaksanakan bagi menyantuni keluarga yang tidak berkemampuan dan kurang bernasib baik terutama mereka yang terkesan teruk akibat wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, kolaborasi di antara badan kerajaan LPJ, konglomerat tempatan MMC dan juga pengendali pelabuhan PTP sepatutnya menjadi contoh inisiatif yang baik dalam memacu ekonomi negara dan bangsa.

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini secara tidak langsung akan dapat membantu membaik pulih tahap kehidupan komuniti setempat. Pelabuhan semakin berkembang maju dan kebajikan komuniti setempat tidak harus dilupakan,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran program di Wisma PTP, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi LPJ, Rosnan Fathlal; Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen dan Penghulu Mukim Tanjung Kupang, Mohammad Faiz Mohd. Pandi.

Dalam majlis sama, seramai 200 keluarga dari lima buah kampung di Mukim Tanjung Kupang Gelang Patah iaitu Kampung Pok, Kampung Ladang, Kampung Tanjung Adang, Kampung Pekajang dan Kampung Tiram Duku menerima sumba­ngan Hari Raya berbentuk baucar tunai dan barangan makanan asas.

Sementara itu, Rosnan memaklumkan, program tahunan itu dijalankan bagi membina hubungan baik dan menyantuni golongan yang kurang berkemampuan di dalam kawasan komuniti PTP dan Johor Port.

“Program Pengagihan Sumbangan Hari Raya ini merupakan program kolaborasi bersama dengan PTP dalam membantu golongan yang memerlukan terutamanya masyarakat setempat yang kurang berkemampuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Neelsen berkata, PTP sentiasa mengambil berat dan fokus kepada kelestarian komuniti setempat sejak awal penubuhannya pada tahun 2000 lagi.

“Seperti tahun lepas, program kali ini juga fokus kepada pemberian sumbangan dan sokongan kepada mereka yang masih berjuang dalam memastikan kehidupan keluarga mereka dapat diteruskan seperti biasa terutamanya di musim pandemik Covid-19 ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN