PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad merekodkan pendapatan sebanyak RM589.5 juta pada suku pertama tahun ini, melonjak 23.7 peratus berbanding prestasi suku sama tahun sebelumnya, dipacu oleh segmen pembangunan hartanah.
Keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) dalam suku semasa juga mencatat peningkatan yang kukuh berbanding kerugian sebelum faedah dan cukai sebanyak RM2.3 juta yang direkodkan pada suku sama 2020.
Pengarah Urusannya, Datuk Azmir Merican berkata, segmen Pembangunan Hartanah merupakan penyumbang utama dengan catatan pendapatan dan PBIT sebanyak RM553 juta dan RM 103.8 juta, berbanding RM440.7 juta dan RM7.6 juta tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Ujarnya, peningkatan kukuh ini adalah hasil pencapaian jualan dan aktiviti pembangunan yang lebih tinggi dalam perbandaran syarikat seperti di Kota Elmina, KLGCC Resort, KL East dan Bandar Serenia.
“Segmen ini juga mencatatkan bahagian kerugian yang lebih rendah sebanyak RM2.5 juta daripada syarikat bersekutu dan usaha sama berbanding RM10.6 juta yang direkodkan dalam tahun sebelumnya.
“Segmen lain seperti Pelaburan dan Pengurusan Aset dan Leisure terus berhadapan dengan cabaran dalam aktiviti perniagaan masing-masing bagi suku semasa berikutan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Januari lalu apabila berdepan kerugian sebelum faedah dan cukai (LBIT) sebanyak RM2.7 juta,” katanya dalam taklimat media secara maya untuk mengumumkan prestasi suku pertama syarikat itu.
Menurut Azmir, segmen Pembangunan Hartanah akan terus memacu prestasi kumpulan dengan sumbangan pendapatan sebanyak 94 peratus dalam suku pertama 2021.
“Kami yakin dapat mencapai sasaran jualan syarikat tahun ini melalui usaha pemasaran digital yang juga disokong dengan Kempen Pemilikan Rumah 2021 yang diperkenalkan kerajaan.
“Produk-produk yang dilancarkan dalam suku pertama ini juga telah menerima sambutan baik daripada kalangan pembeli dengan purata kadar pembelian melebihi 90 peratus dan tempahan berjumlah RM800 juta,” ujarnya.
Tambah beliau, syarikat telah berjaya menangani cabaran yang dihadapinya sepanjang tempoh pandemik dengan strategi dan pelan taktikal dalam usaha menjadi syarikat pembangunan hartanah yang lestari menjelang 2025.
“Keutamaan syarikat tertumpu kepada peningkatan rangkaian produk, peluasan asas pendapatan dan portfolio perniagaan, serta pembinaan perbandaran yang lestari. Syarikat akan terus bekerja keras untuk mencipta nilai jangka panjang yang berterusan bagi semua pihak berkepentingan kami melalui persediaan yang secukupnya dan bertindak tangkas dalam merebut peluang-peluang yang terdapat dalam industri hartanah.
“Kami juga akan melaksanakan pelancaran produk baharu di lokasi-lokasi terpilih pada titik harga yang tepat, meneruskan usaha untuk mencipta nilai baharu melalui pengurusan bank tanah yang aktif dan meneruskan pengurusan kos yang berwaspada tahun ini,” jelasnya.
Dari segi kedudukan kewangan syarikat, jumlah ekuiti mencatatkan kenaikan kepada RM9.4 bilion pada suku semasa, berbanding RM9.2 bilion pada suku sebelumnya. Nisbah hutang kasar dan bersih terus stabil pada kadar 37.4 dan 29.5 peratus.
Sime Darby Property juga berjaya menjana aliran tunai yang positif dari aktiviti operasi syarikat terutamanya daripada penjualan stok yang telah siap yang seterusnya menghasilkan baki tunai yang sihat berjumlah RM746.3 juta pada suku semasa. – UTUSAN










