PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan sebarang cadangan pembangunan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang akan dirujuk terlebih dahulu kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku pemegang taruh utama bagi pihak kerajaan.
Jaminan itu diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pertemuan dengan pihak MAHB, baru-baru ini.
Menurut Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, pihaknya telah mengambil inisiatif memberi taklimat kepada Perdana Menteri tentang kedudukan terkini LTSAAS Subang serta perancangan MAHB yang telah tersedia di bawah pelan perancangan ‘Subang Airport Regeration.’
Kata beliau, taklimat itu dibuat susulan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MAHB yang mengambil maklum berita cadangan pengambilalihan LTSAAS Subang oleh pihak swasta, meskipun tiada kertas cadangan yang diterima secara rasmi daripada kerajaan ataupun swasta.
“Perdana Menteri mengambil maklum tentang peranan Malaysia Airports (MAHB) di dalam sektor penerbangan dan industri berkaitan.
“Lantaran itu, kami menaruh keyakinan dengan komitmen Perdana Menteri dalam memastikan LTSAAS Subang kekal sebagai aset strategik dan keselamatan negara.
“Pihak Malaysia Airports berkeyakinan bahawa cadangan dan pandangan yang dikemukakan bagi mengekalkan LTSAAS Subang sebagai sebuah pusat penerbangan dan aeroangkasa akan dikekalkan selaras dengan pelan perancangan “Subang Airport Regeneration” yang telah dirangkakan.
“LTSAAS Subang kini merupakan pusat MRO kedua terkemuka di Asia dan keempat di dunia,” katanya dalam kenyataan.
MAHB merupakan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia dari segi jumlah penumpang yang dikendalikan.
Ia mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.
Sebanyak 39 lapangan terbang di Malaysia merangkumi lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 Padang Pelepasan dan Pendaratan Pendek (STOLports). – UTUSAN










