100 tahun koperasi kekal relevan - Utusan Malaysia

100 tahun koperasi kekal relevan

Abdul Fattah Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Koperasi sumbang kepada pembangunan ekonomi, rakyat

PETALING JAYA: Genap 50 tahun penubuhannya hari ini, ANGKASA terus memacu gerakan koperasi negara untuk bertahan dalam memastikannya terus menggerakkan aktiviti perniagaan sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan rakyat.

Kecekalan koperasi untuk melangsungkan operasi membolehkan sektor itu mencatat pertumbuhan memberangsangkan sekali pun ekonomi dunia berdepan penguncupan ketara akibat wabak Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ini disebabkan prinsip koperasi yang mempraktikkan aspek ‘bekerja bersama-sama demi manfaat bersama’ sehingga koperasi me­re­kodkan per­tumbuhan organik dalam keadaan eko­nomi tidak menen­tu sejak mula bertapak di negara ini hampir 100 tahun yang lalu.

Justeru, tidak hairanlah mengapa gerakan koperasi mampu mencatat perolehan sebanyak RM45.8 bilion pada 2019 dan RM21.2 bilion sehingga Jun 2020 biarpun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19.

“Walaupun jumlah tersebut tidak terlalu besar namun koperasi terus bergerak atas dasar membantu anggota dan masyarakat dan bukan bersandarkan untung semata-mata. Sebab itulah, pencapaian koperasi secara keseluruhan tidak sepatutnya diukur melalui perolehan sahaja.

“Koperasi bukan hanya bersifat memberi tetapi mengajar masyarakat untuk berdikari demi memenuhi keperluan masing-masing. Contohnya, kawasan perumahan baharu dan tiada kedai runcit. Penduduk kumpul modal bangunkan koperasi dan jalankan perniagaan runcit di mana diskaun dan sebahagian untung diberikan kepada anggota dalam bentuk dividen.

“Jadi, anggota dapat memenuhi keperluan untuk mendapatkan barangan asas, diskaun harga barang, pembahagian dividen dan sudah tentu ini akan membuka peluang pekerjaan bagi pengurusan kedai runcit operasi,” katanya di sini baru-baru ini.

Abdul Fattah berkata, apa yang penting adalah semangat kerjasama dalam kalangan anggota koperasi bagi memastikan aktiviti dijalankan berjalan lancar manakala ahlinya mendapat pengalaman baharu melalui kegiatan yang dijalankan.

“Kumpul seberapa ramai individu, fikirkan strategi perniagaan yang akan dibangunkan. Jika seorang sahaja mungkin sukar untuk melakukan perniagaan. Maka, kumpul modal secara bersama secara berkoperasi kerana semakin banyak modal, semakin besar skala perniagaan dapat dilakukan.

“Bagi yang menghuni di rumah kos rendah seperti golongan wanita boleh bersama-sama mengeluarkan produk seperti contoh makanan, jahitan, taska dan lain – lain, gunakan koperasi sebagai instrumen memenuhi keperluan anggota serta masyarakat dan pembangunan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN