UEM Edgenta, syarikat Arab Saudi jalin kerjasama strategik - Utusan Malaysia

UEM Edgenta, syarikat Arab Saudi jalin kerjasama strategik

MOHAMED Azmin Ali menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Eksplorasi Perniagaan antara Syahrunizam Samsudin (kanan) dan Sheikh Abdulwahab Nasser Al-Akeel.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad (UEM Adgenta) telah menandatangani Memorandum Eksplorasi Perniagaan (MoBE) dengan Asma Advance Solutions LLC (Asma Advanced) bagi mengenal pasti strategi untuk memperluaskan pasaran perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan dan pasaran pengurusan fasiliti bersepadu di Arab Saudi.

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin memberitahu, MoBE itu dijangka membuka jalan kerjasama masa hadapan bagi meneroka dan mengenal pasti peluang yang berpotensi dalam usaha untuk memperluaskan perniagaan yang berdaya maju secara komersial di Arab Saudi.

“Melalui kerjasama strategik itu, kedua-dua pihak akan mengadakan perbincangan bersama dalam tempoh lapan bulan akan datang dan memanfaatkan kekuatan semua pihak untuk meneroka peluang perniagaan.

“Ia menandakan lebih ba­nyak peluang untuk kami mempelbagaikan lagi aliran pendapatan syarikat ketika meneroka pasaran baharu di Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, pihaknya yakin kerjasama dengan Asma Advanced itu akan mendorong pertumbuhan selanjutnya da­lam strategi pengembangan serantau, untuk merealisasikan visi Edgenta of the Future 2025.

Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Kanan Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, Pengerusi Asma Advanced, Sheikh Abdulwahab Nasser Al-Akeel menjelaskan, aspirasi pihaknya ialah untuk menjadi penyedia pilihan, terutamanya dalam bidang penyelesaian kesihatan dan alam sekitar.

“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan UEM Edgenta, syarikat penyedia perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan yang berpengalaman di mana kami kini sedang memperkenalkan penyelesaian inovatif ke pasaran Arab Saudi.

“MoBE akan menggariskan kerjasama yang rapat antara ke­dua-dua pihak termasuk mengenal pasti peluang yang berpotensi untuk UEM Edgenta membuktikan kemampuannya dan menawarkan penyelesaian bagi mewujudkan struktur komersial, sekiranya wujud peluang sebelum akhir Disember 2021,” katanya.

Asma Advanced merupakan sebuah syarikat yang dimiliki bersama oleh Progressive Impact Corporation Berhad dan syarikat saham bersama tertutup Arab Saudi, Trade House Group Company. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya