Quek Leng Chan individu terkaya di Malaysia - Utusan Malaysia

Quek Leng Chan individu terkaya di Malaysia

Quek Leng Chan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat ahli perniagaan Malaysia memasuki senarai baharu bilionair dunia Forbes tahun ini termasuk pengasas Mr. DIY Group (M) Berhad, Tan Yu Yeh dan adiknya, Tan Yu Wei.

Turut tersenarai ialah Pengerusi Eksekutif Westportsts Holdings Berhad, Tan Sri G. Gnanalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Greteast Technology Berhad, Tan Eng Kee.

Menurut Forbes,  anggaran nilai kekayaan Yu Yeh dan Yu Wei masing-masing sebanyak AS$1.8 bilion (RM7.4 bilion) dan AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

Kekayaan dua beradik itu melambung tinggi selepas MR. DIY disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia pada Oktober tahun lalu, dengan permodalan pasaran RM10 bilion yang merupakan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar sejak 2017.

Nilai kekayaan bersih Gnanalingam pula kira-kira AS$1.7 bilion (RM7 bilion) manakala, Eng Kee yang mengasaskan syarikat pengeluar peralatan automasi kilang di Pulau Pinang mempunyai kekayaan bersih sebanyak AS$1.1bilion (RM4.5 bilion).

Sementara itu, Pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan terus berada di kedudukan teratas senarai bilionair paling kaya di Malaysia dengan anggaran kekayaan bersih sebanyak AS$9.7 bilion (RM40 bilion).

Bilionair lain di Malaysia termasuk Ananda Krishnan dengan kekayaan bersih AS$5.8 bilion (RM24 bilion), Tan Sri Teh Hong Piow dari Public Bank (AS$5.7 bilion-RM23.5 bilion), Tan Sri Lim Wee Chai dari Top Glove dan Tan Sri Lim Kok Thay dari Genting sebanyak AS$2.7 bilion (RM11.2 bilion).

Di peringkat global, CEO Amazon, Jeff Bezos yang akan melepaskan jawatannya tidak lama lagi kekal mengungguli senarai bilionair terkaya dunia buat tahun keempat berturut-turut.

Ia diikuti oleh CEO Tesla, Elon Musk dan CEO LVMH Moët Hennessy iaitu pemilik jenama mewah LV, Bernard Arnault.

Melengkapi senarai lima teratas bilionair terkaya dunia adalah Pengasas Microsoft, Bill Gates dan CEO Facebook,  Mark Zuckerberg.

Senarai bilionair Forbes yang ke-35 itu telah menamakan 2,755 individu, termasuk 493 pendatang baharu ketika dunia sedang menghadapi krisis ekonomi berikutan pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.