Bina kilang penghentakan kereta baharu di Tanjung Malim
PETALING JAYA: Proton melabur RM200 juta untuk pembinaan fasiliti baharu, kilang penghentakan badan kereta di Tanjung Malim, Perak seterusnya menaikkan taraf daerah itu sebagai kilang pembuatan tahap dunia.
Penambahan fasiliti yang dijangka siap pada suku ketiga itu dijangka memberi sumbangan kepada barisan pengeluaran sedia ada kerana jentera hentakan superlarge yang akan diguna mampu meningkatkan kebolehan Proton mengeluarkan panel badan yang lebih besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, perkembangan ini juga adalah sebahagian rancangan syarikat untuk menambah tahap penggunaan komponen tempatan bagi model sedia ada dan akan datang.
Ujarnya, selain daripada pelaburan ini, sebanyak RM1.2 bilion telah dibelanjakan untuk barisan pengeluaran yang baru pada tahun 2019.
“Pelaburan ini adalah selaras dengan strategi perkembangan dan rancangan masa depan mereka kerana ia membolehkan pembuatan pelbagai model. Ia juga selaras dengan strategi teknologi Proton kerana kilang baharu itu akan menggunakan alatan dan sistem canggih.
“Walaupun kami berpuas hati dengan kemajuan syarikat setakat ini, Proton perlu sentiasa bergerak ke depan. Penambahan baharu ini adalah sebahagian dari strategi kami untuk memastikan kami boleh terus berkembang dan pada masa yang sama, menambah jumlah model yang diperlukan.
“Ini bermakna syarikat akan mempunyai kebolehan untuk mengeluarkan pelbagai model tetapi lebih penting lagi, kami akan mengeluarkan produk yang bertaraf tinggi dan mempunyai teknologi baharu,” katanya dalam kenyataan.

Prestasi Proton telah meningkat secara mendadak dalam masa tiga tahun yang lalu di samping pelancaran model baharu, menambah pegangan pasaran, meningkatkan tahap kualiti dan juga merombak rangkaian pengedarnya.
Tambah beliau, haluan dan perkembangan masa depan Proton adalah jelas dan Malaysia akan tetap menjadi pasaran utama dan perlu mempunyai kebolehan untuk bersaing di luar negara.
“Fasiliti baharu ini adalah sebahagian kecil dalam perjalanan itu tetapi amat penting kerana membolehkan penambahan penggunaan komponen tempatan pada masa hadapan.
“Ini juga akan membolehkan Proton melibatkan lebih ramai vendor tempatan dalam proses pengeluarannya dan dengan demikian, mengembangkan lagi ekosistem automotif tempatan,” jelasnya. – UTUSAN










