Prince Premium+ lantik PPE Advantage pengedar sarung tangan di AS, Amerika Latin - Utusan Malaysia

Prince Premium+ lantik PPE Advantage pengedar sarung tangan di AS, Amerika Latin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prince Premium+, jenama sarung tangan yang dikeluarkan oleh GIS Resources Sdn. Bhd., telah memeterai perjanjian pengedaran selama tiga tahun dengan PPE Advantage (Dsource LLC) berpangkalan di Chicago, Amerika Syarikat.

Dalam perjanjian tersebut, yang ditandatangan pada Mac lalu, PPE Advantage menjadi pengedar induk sarung tangan gred pemeriksaan nitril dan lateks untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Amerika Latin.

Perjanjian pengedaran tersebut bernilai lebih AS$200 juta (RM821.4 juta) setahun dan penghantaran pertama sarung tangan Prince Premium+ telah bermula Mac lalu.

Menurut Prince Premium+, keupayaan pengeluaran bulanannya akan meningkat daripada 1.5 juta kotak sarung tangan kepada 5 juta kotak mulai Mei ini. Sekotak sarung tangan mengandungi 100 helai.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prince Premium+, Datuk Murali Darvin berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan PPE Advantage, yang kini rakan kongsi terbesarnya di AS.

Beliau berkata, Ketua Pegawai Eksekutif PPE Advantage, Douglas Stein berpengalaman dalam perniagaan kelengkapan pelindungan peribadi (PPE) dan mempunyai banyak pelanggan.

“Semua ini pastinya sangat berharga bagi kami. Perkongsian ini merupakan pencapaian penting dalam usaha kami menjadi jenama yang disegani khususnya di AS dan Amerika Latin,” katanya dalam kenyataan.

Davin berkata, beliau sejak dahulu lagi percaya dalam menjalinkan perkongsian yang secocok.

Jelasnya, perkongsian pertama ialah dengan HK Ventures, yang berperanan sebagai ketua rakan kongsi pemasaran untuk mempromosikan jenama Prince Premium+.

“Kerja mereka menghasilkan kerjasama hebat ini dengan Stein. Prince Premium+ sedang berusaha menghasilkan sarung tangan 510(k) dan kami harap dapat menyediakan sarung tangan baharu tersebut untuk diserahkan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) AS menjelang suku ketiga tahun ini,” jelasnya.

Sementar itu, Stein berkata, ia adalah antara perkongsian paling mengujakan dalam kerjayanya.

“Apabila pertama kali bertemu dengan Hasitha Nandasena daripada HK Ventures dan Datuk (Davin), gerak hati mendorong saya meletakkan sepenuh perhatian pada jenama Prince Premium+.

“Perniagaan sarung tangan perubatan pada masa ini sangat mencabar. Saya sangat gembira menemukan rakan kongsi yang sebenar untuk sama-sama berkembang maju.

“Kami semua memberi sumbangan penting dalam perkongsian ini. Saya sangat bangga dengan jenama ini dan sangat menghargai perkongsian kami,” katanya.

Prince Premium+ yang memulakan pembuatan pada November 2020 telah berjaya membuat sarung tangan gred pemeriksaan lateks dan nitril bermutu tinggi dan mengeksport jutaan sarung tangan kepada pelanggan di Eropah, Amerika Utara, dan Asia Barat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN