Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara lulus NESR 2.0 - Utusan Malaysia

Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara lulus NESR 2.0

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara meluluskan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang (NESR) 2.0 semalam sebagai pendekatan berfokus untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekosistem e-dagang di Malaysia..

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad, majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut bersetuju secara prinsip dengan cadangan untuk melaksanakan konsep platform pelbagai aplikasi atau Super App sebagai pusat sehenti bagi perkhidmatan digital kerajaan dan beberapa perkhidmatan digital sektor swasta yang terpilih.

Kata beliau, kerajaan akan mengadakan libat urus dengan beberapa pihak berkepentingan untuk memperincikan cadangan konsep tersebut sebelum dimuktamadkan.

“Pada masa ini, Malaysia merupakan pasaran e-dagang terbesar dalam kalangan negara ASEAN. Menjelang 2025, saiz pasaran e-dagang di Malaysia disasarkan bernilai RM1.5 trilion berbanding RM460 bilion pada 2018.

“Selain itu, menjelang 2025, disasarkan 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan menerima guna e-dagang berbanding 489,958 pada hujung 2020,” katanya dalam kenyataan dekat sini hari ini.

Tambah Mustapa, Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara turut bersetuju dengan cadangan penubuhan Pejabat Pelaburan Digital (DIO) yang diterajui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mempromosi dan memudah cara pelaburan dalam bidang ekonomi digital.

Jelas beliau, dengan pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), pelaburan dalam bidang digital dijangka meningkat.

“Majlis juga telah mendengar laporan pencapaian keenam-enam kluster yang ditubuhkan iaitu bakat digital; infrastruktur digital dan data; teknologi baru muncul; ekonomi; masyarakat dan kerajaan.

“Majlis berpuas hati dengan kemajuan yang telah dicapai oleh keenam-enam kluster dalam melaksanakan inisiatif yang terkandung dalam rangka tindakan yang dilancarkan dua bulan lalu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah melantik Fabian Bigar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik (SCMO) yang ditubuhkan di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Kata beliau, SCMO berperanan untuk memacu pengurusan perubahan dan bertanggungjawab memantau serta menilai pelaksanaan MyDIGITAL. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya